Kemenangan Thailand sahkan slot separuh akhir Harimau Muda


Kejayaan secara automatik layak ke separuh akhir hadir selepas Thailand membelasah Kemboja 5-0 pada aksi ketiga Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Vietnam, malam ini. – Gambar EPA, 14 Mei, 2022.

MALAYSIA layak ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 sekali gus menghampiri pencapaian gemilang merangkul pingat emas pada edisi 2011 di Indonesia.

Kejayaan secara automatik itu hadir selepas Thailand membelasah Kemboja 5-0 pada aksi ketiga Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, Vietnam, malam ini.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Kemboja pada aksi terakhir kumpulan pada Isnin depan menjamin kemaraan skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan kendalian ketua jurulatih Brad Maloney ke pusingan kalah mati selaku pendahulu Kumpulan B.

Terdahulu, pasukan negara terikat 2-2 dengan Singapura pada pertembungan di Stadium Thien Truong, petang ini menyaksikan keputusan itu merencatkan hasrat anak buah Maloney mara ke peringkat separuh akhir lebih awal.

Berdasarkan kedudukan terkini, Malaysia mengungguli Kumpulan B dengan mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan sementara Thailand yang berada di tempat kedua mengutip enam mata, hanya memerlukan keputusan seri untuk mengiringi pasukan negara ke peringkat separuh akhir. 

Skuad B-23 kebangsaan sebelum ini melakar kemenangan 2-1 ke atas Thailand sebelum mengatasi Laos 3-1 dalam dua aksi pertama kumpulan.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 sewaktu dibimbing Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019. – Bernama, 14 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen