Skuad e-sukan negara sasar 1 emas Sukan SEA


Pengurus pasukan skuad e-sukan negara Kelvin Pang Ching Kuen berkata sandaran emas diletakkan pada dua pasukan yang akan bertanding dalam acara "Player Unknown’s Battlegrounds Mobile". – Gambar AFP, 2 Mac, 2022.

SKUAD e-sukan negara meletakkan sasaran untuk membawa pulang satu emas daripada empat pingat yang disasarkan pada Sukan SEA Hanoi, 12-23 Mei ini.

Pengurus pasukan itu Kelvin Pang Ching Kuen berkata sandaran emas diletakkan pada dua pasukan yang akan bertanding dalam acara “Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile”.

“Kami menghantar dua pasukan terbaik bagi permainan elektronik tersebut dengan harapan sasaran diletakkan tercapai,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM di Kuala Lumpur hari ini.

Selain “PUBG Mobile”, Kelvin memaklumkan skuad tersebut turut menyertai empat lagi acara iaitu “Free Fire”, “League of Legends”, “Mobile Legends”, dan “Arena of Valor”.

“Dua pasukan akan bertanding dalam ‘Free Fire’ manakala masing-masing satu pasukan bagi permainan ‘League of Legends’, ‘Mobile Legends’ dan ‘Arena of Valor’,” katanya.

Mengulas lanjut tentang persiapan skuad negara, beliau berkata kuota sedia ada melibatkan 44 atlet akan ditambah bagi memantapkan pasukan. 

“Kami berhasrat untuk menambah kepada 52 atlet iaitu penambahan bagi pemain simpanan. Senarai akhir atlet akan diumumkan selepas pemilihan oleh persatuan pada 7 Mac,” katanya yang turut menjangkakan tentangan sengit daripada tuan rumah Vietnam, Thailand dan Filipina.

E-sukan pertama kali dipertandingkan sebagai acara menawarkan pingat pada Sukan SEA Filipina 2019 yang menyaksikan enam pingat emas dipertandingkan.

Malaysia memenangi emas dalam acara Hearthstone menerusi pemegang ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kejuruteraan elektrik Dr Yew Weng Kean pada edisi tersebut. – Bernama, 2 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen