Pahang laksana strategi selamatkan Harimau Malaya, kata exco


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Mohd Sharkar Shamsudin berkata kerajaan negeri akan memelihara spesies Harimau Malaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

KERAJAAN Pahang menyokong dan akan melaksana secara bersama cadangan dikemukakan National Tiger Implementation Working Group (MyTWG) dalam usaha memelihara spesies Harimau Malaya, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Mohd Sharkar Shamsudin. 

Beliau berkata cadangan itu antara lain melibatkan strategi mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya melalui rondaan, penguatkuasaan dan pengawalan serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi haiwan itu. 

Selain itu, strategi berkenaan akan memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

“Kerajaan negeri komited terhadap strategi bagi selamatkan Harimau Malaya. Ini kempen untuk selamatkan haiwan itu yang dianggarkan mengikut data berada di bawah 200 ekor di seluruh Semenanjung Malaysia dengan Pahang merekodkan bilangan tertinggi daripada lapan negeri keliaran Harimau Malaya. 

“Bilangan ini sangat membimbangkan kerana Malaysia dijangka kehilangan spesies ini selama-lamanya dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tindakan drastik tidak diambil segera.

“Ekoran daripada masalah tersebut, Kerajaan Pahang yang merupakan ahli kepada MyTWG telah meneliti dan memperaku cadangan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2022) 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Norolazali Sulaiman memaklumkan Jabatan Kerja Raya telah menyiapkan dan menyerahkan 12 projek infrastruktur jalan di bawah Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di negeri ini. 

Beliau berkata sebanyak 35 projek sedang dalam peringkat pembinaan manakala 17 lagi dalam perancangan. 

Selain itu, beliau berkata enam kejadian tanah runtuh turut dilaporkan sepanjang Monsun Timur Laut pada tahun ini. – Bernama, 9 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen