Beri insentif kepada kerajaan negeri henti teroka hutan, lindungi habitat haiwan, gesa aktivis 


Raevathi Supramaniam

Aktivis alam sekitar berkata langkah itu akan membantu kerajaan negeri untuk meletakkan pemuliharaan alam sekitar sebagai keutamaan sekali gus melindungi habitat haiwan liar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

KERAJAAN negeri perlu diberi insentif oleh syarikat yang meneroka hutan untuk pertanian bagi membantu melindungi habitat haiwan, kata aktivis alam sekitar.

Menurut mereka langkah ini akan membantu menyediakan dana kepada kerajaan negeri yang kurang dibiaya dan meletakkan pemuliharaan alam sekitar sebagai keutamaan.

“Kerajaan negeri mendapat paling banyak wang dari cukai pertukaran tanah. Sekiranya syarikat yang meneroka tanah luas seperti syarikat kelapa sawit, dapat membayar RM100 untuk setiap hektar yang dimilikinya, itu akan memberikan pendapatan untuk negeri ini,” kata Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia Song Horng Liang.

“Kita tidak menentang sektor minyak sawit kerana ia merupakan antara penyumbang terbesar KDNK negara namun mereka perlu memberikan insentif kepada kerajaan negeri agar mereka hentikan pembalakan,” katanya pada forum bertajuk Malayan Tigers & Oil Palms: Friends or Foes? malam tadi.

Forum berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Oxford dan Cambridge Malaysia dan disiarkan secara dalam talian di YouTube.

Pada tahun 2019, produk domestik kasar dari minyak sawit dianggarkan berjumlah RM38.24 bilion.

Baru-baru ini Song dan organisasinya membantu kerajaan persekutuan menjalankan Kaji Selidik Harimau Kebangsaan bagi menentukan jumlah harimau Malaya yang masih ada di hutan negara ini.

Kajian berkenaan merupakan yang pertama dijalankan sejak merdeka pada 1957 bagi membantu ahli konservasi menentukan habitat harimau dan menentukan apa yang perlu dilakukan bagi melindungi spesies itu daripada pupus.

Sehingga kini terdapat kurang 200 harimau Malaya di hutan negara ini, berbanding 500 pada tahun 2000.

Ancaman pemburu haram

Sementara itu Presiden dan Pengarah Rimau Lara Ariffin berkata antara cabaran yang dihadapi dalam melindungi habitat harimau di Malaysia adalah penerokaan hutan untuk pertanian dan perlombongan.

“Hanya tinggal 43% hutan di negara ini dan sebahagian besar daripadanya adalah pecahan atau hutan kecil yang tidak berhubung dengan kawasan luas. Hanya 11% masih asli, bermakna kawasan berkenaan masih belum diteroka.

“Realitinya adalah penebangan hutan akan menjejaskan habvitat harimau dan di Malaysia kira-kira 13% sudah diteroka untuk perladangan kelapa sawit,” katanya.

Pecahan hutan itu juga menyumbang kepada masalah kepelbagaian genetik dan harimau tersebut terperangkap di kawasan kecil.

“Industri kelapa sawit harus memimpin dalam menghubungkan pecahan hutan ini, seperti yang dilakukan Sime Darby di Sabah. Kita semua perlu memainkan peranan, kita tidak boleh tunggu sehingga sudah terlambat seperti yang berlaku pada badak sumbu Sumatera.”

Larra yang turut bekerjasama dengan Perhilitan dan WWF dalam kajian harimau berkata masalah lain yang membawa kepada kepupusan harimau Malaya adalah perangkap pemburu haram.  – 16 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen