Harimau Malaya di zoo New York positif Covid-19


Foto harimau Malaya Nadia yang dikeluarkan oleh Wildlife Conservation Society. Harimau itu diuji positif Covid-19. – Gambar AFP, 6 April, 2020.

SEEKOR harimau Malaya di Zoo Bronx di New York disahkan positif Covis-19, dipercayai dijangkiti virus itu daripada seorang penjaga di zoo itu yang tidak menunjukkan gejala.

Harimau berusia 4 tahun itu diberi nama Nadia.

Selain Nadia, seekor lagi harimau Malaya, Azul serta dua harimau Amur dan tiga harimau Afrika mengalami gejala batuk, menurut kenyataan Wildlife Conservation Society yang menguruskan Zoo Bronx.

“Walaupun haiwan-haiwan ini kurang selera makan, mereka dalam keadaan baik di bawah penjaga haiwan dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Masih belum dapat dipastikan bagaimana penyakit ini akan berkembang dalam badan harimau kerana setiap spesies mempunyai tindak balas berbeza terhadap jangkitan koronavirus. Tetapi kami akan terus memantau dan menjangkakan mereka akan pulih.”

Semua zoo dan aquarium di New York ditutup sejak 16 Mac.

Zoo Bronx turut menegaskan tiada bukti bahawa virus Covid-19 dipindahkan dari haiwan kepada manusia, dan tiada bukti adanya kes jangkitan melalui haiwan di Amerika Syarikat, termasuk anjing dan kucing peliharaan.

Pegawai di jabatan kawalan penyakit di China sebelum ini mengenal pasti haiwan liar yang dijual di sebuah pasar di Wuhan sebagai punca wabak Covid-19 yang kini sudah menjangkiti lebih sejuta orang di seluruh dunia.

Menurut laman web Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), tiada laporan jangkitan Covid-19 membabitkan haiwan peliharaan atau haiwan lain di negara itu sebelum laporan mengenai jangkitan di Zoo Bronx.

Akhir Mac lalu, seekor kucing peliharaan di Belgium dan dua ekor anjing di Hong Kong diuji positif Covid-19.

Haiwan berkenaan dipercayai dijangkiti menerusi pemilik mereka. – AFP, 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen