SEBUAH pesawat yang membawa 11 orang penumpang terhempas di hutan di tengah Cameroon pada Rabu, kata kementerian pengangkutan.
Pengawal trafik udara terputus hubungan radio dengan pesawatberkenaan yang kemudian dikesan di dalam hutan berhampiran Nanga Eboko, sekitar 150 kilometer (90 batu) timur laut ibu negara Yaounde, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Seorang pegawai kementerian, yang enggan namanya disiarkan, berkata pesawat itu terhempas dan penyelamat cuba untuk melihat kemungkinan terdapat mangsa yang boleh diselamatkan.
Pesawat itu disewa oleh syarikat swasta, Cameroon Oil Transportation Company (COTCO) yang menyelenggara saluran paip hidrokarbon antara Cameroon dan negara jiran Chad, sumber rasmi memberitahu AFP.
Pesawat itu, yang jenis dan pembuatannya tidak didedahkan kepada umum, sedang dalam penerbangan dari lapangan terbang Yaounde-Nsimalen ke Belabo, di timur negara berkenaan, kata kenyataan kementerian itu.
Ia merupakan nahas udara besar pertama yang dilaporkan di Cameroon sejak 2007, apabila pesawat Kenya Airways yang membawa 114 orang terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Douala. Tiada mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu. – AFP, 12 Mei, 2022.
Komen