Tentera Cameroon rogol 20 wanita, bunuh lelaki, kata pemerhati


Bagaimanapun, tentera enggan mengulas ketika dihubungi oleh AFP. – Gambar AFP, 26 Februari, 2021.

TENTERA Cameroon memperkosa sekurang-kurangnya 20 wanita, termasuk empat orang kurang upaya, selain membunuh seorang lelaki dalam serbuan tahun lalu di wilayah pemisah, kata Human Rights Watch pada Jumaat.

HRW berkata serangan terhadap perkampungan Ebam, di barat daya negara itu, adalah salah satu yang terburuk yang dilakukan tentera dalam pertempuran empat tahunnya dengan pemisah bersenjata.

Sejumlah tentera mengumpul lelaki, sementara yang lain memperkosa sekurang-kurangnya 20 wanita, termasuk empat orang kurang upaya, kata kumpulan aktivis itu dalam satu kenyataan selepas bercakap melalui telefon kepada mangsa dan saksi antara Ogos dan Januari.

Ia menambah seorang lelaki berusia 34 tahun dibunuh oleh tentera di sebuah hutan di sekitar kampung.

Saksi berkata lebih daripada 50 tentera memasuki Ebam dengan berjalan kaki sebelum subuh pada 1 Mac tahun lalu, sebagai balas dendam terhadap orang awam yang disyaki bekerjasama dengan pemisah, termasuk menawarkan mereka tempat tinggal.

Pada 2017, kebencian selama bertahun-tahun yang dianggap diskriminasi di tangan majoriti Cameroon mengakibatkan pengisytiharan kemerdekaan oleh puak radikal.

Ambazonia, negara yang diisytihar sendiri, tidak diakui di peringkat antarabangsa, dan kerajaan pusat di Yaounde telah bertindak balas dengan tindakan keras.

“Keganasan dan seksaan seksual adalah kejahatan keji yang kerajaan wajib segera membuat selidik yang efektif, dan bebas, dan membawa mereka yang bertanggung jawab ke muka pengadilan,” kata Ida Sawyer, wakil pengarah Human Rights Watch di Afrika.

“Setelah setahun, mangsa serangan Ebam sangat memerlukan keadilan, dan mereka hidup dalam pengetahuan yang pencabul mereka hidup bebas dak tidak dikenakan tindakan.”

Bagaimanapun, tentera enggan mengulas ketika dihubungi oleh AFP.

Seorang wanita berusia 40 tahun memberitahu HRW lima askar bertopeng memasuki rumahnya.

“Salah seorang dari mereka menganiaya saya. Dia berkata: ‘Sekiranya kamu tidak mahu lakukan seks dengan saya, saya akan bunuh kamu!’. Saya terlalu takut untuk kata atau buat apa-apa,” kata wanita itu kepada kumpulan hak asasi.

“Selepas diperkosa, saya berlari ke arah semak di mana saya menghabiskan dua bulan. Saya masih kecewa dan trauma.”

HRW juga berkata tentera membawa sekurang-kurangnya 36 lelaki ke pangkalan tentera berhampiran di mana mereka memukul mereka dan menggunakan kekerasan yang sama dengan penyeksaan.

Penduduk kampung juga melaporkan tentera mencuri wang dan barang-barang lain dari kediaman yang mereka masuki.

Kumpulan hak asasi menuduh kedua-dua pemisah dan tentera kerajaan telah membunuh orang awam semasa konflik pemisah sejak 2017.

Pertempuran telah meragut nyawa lebih dari 3,000 orang dan memaksa lebih dari 700,000 orang meninggalkan rumah mereka. – AFP, 26 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen