TIGA guru, pengetua dan seorang timbalan pengetua telah diculik dari sebuah sekolah menengah di Cameroon oleh lelaki bersenjata di salah satu daripada dua wilayah yang dilanda konflik bersenjata antara pemisah dan tentera, kata kesatuan guru kepada AFP pada Jumaat.
“Kumpulan bersenjata menyerbu masuk ke sekolah tinggi dwibahasa Weh pada Selasa dan menculik lima orang,” kata Roger Kafo, setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Menengah (Snaes).
Pemisah bersenjata kerap menyerang sekolah yang mereka tuduh mengajar dalam bahasa Perancis, dan membunuh penjawat awam, termasuk guru, yang mereka tuduh “bekerjasama” dengan kerajaan pusat di Yaounde.
Pelajar telah diculik dan kemudian dibebaskan.
“Pada masa ini kami tidak ada sebarang berita mengenai tebusan dan tiada yang telah dibebaskan,” tambah Kafo.
Yang menjadi tebusan ialah pengetua, timbalan pengetua dan tiga guru.
Wilayah barat laut dan barat daya telah digegarkan oleh keganasan sejak 2017 apabila militan mengisytiharkan kemerdekaan daripada negara majoriti berbahasa Perancis itu.
Yaounde membalas dengan tindakan keras.
Kedua-dua pemisah dan tentera kerajaan telah dituduh melakukan kekejaman dalam pertempuran, yang telah meragut lebih 3,000 nyawa dan memaksa lebih 700,000 meninggalkan rumah mereka. – AFP, 22 Januari, 2022.
Komen