Tentera Israel tembak mati wartawan veteran Shireen Abu Akleh


Menurut jurugambar AFP di tempat kejadian, wartawan veteran Shireen Abu Akleh, 51, yang memakai jaket media telah ditembak dengan "sengaja" oleh tentera Israel ketika serbuan ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat pada Rabu. – Gambar AFP, 11 Mei, 2022.

WARTAWAN veteran Al Jazeera Shireen Abu Akleh ditembak mati oleh tentera Israel pada Rabu ketika membuat liputan serbuan ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat, kata rangkaian itu.

Al Jazeera berkata, Abu Akleh, 51, tokoh terkemuka dalam perkhidmatan berita Arab saluran itu ditembak dengan “sengaja” oleh tentera Israel.

Tentera Israel mengesahkan telah menjalankan operasi pada Rabu di kem pelarian tersebut yang merupakan kubu kuat kumpulan bersenjata Palestin di utara Tebing Barat.

Bagaimanapun ia bertegas menafikan sengaja menyasarkan wartawan itu.

“(Tentera) sudah tentu tidak sasar wartawan,” kata seorang pegawai tentera kepada AFP.

“Ada siasatan berterusan mengenai ini. Kami tawar dan mahu jalankan siasatan bersama dengan rakyat Palestin.”

Tentera berkata terdapat tembak menembak antara suspek dan pasukan keselamatan dan ia “menyiasat kejadian itu dan melihat kemungkinan wartawan dipukul oleh lelaki bersenjata Palestin.”

Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian berkata Abu Akleh memakai jaket media ketika ditembak. – AFP, 11 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen