Ketua biro Al Jazeera Sudan ditangkap


Al Jazeera telah memberikan liputan besar mengenai demonstrasi menentang rampasan kuasa 25 Oktober namun minggu lalu ia juga menyiarkan wawancara terperinci dengan jeneral tertinggi Abdel Fattah al-Burhan. – Gambar EPA, 14 November, 2021.

PASUKAN keselamatan Sudan telah menangkap ketua biro rangkaian TV Al Jazeera, kata media itu pada Ahad, sehari selepas tindakan keras terbaharu terhadap penunjuk perasaan antirampasan kuasa yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh.

“Pasukan keselamatan menyerbu rumah Al-Musalami al-Kabbashi, ketua biro Al Jazeera di Sudan sebelum menahannya,” kata rangkaian itu di Twitter tanpa mengulas lanjut.

Al Jazeera telah memberikan liputan besar mengenai demonstrasi menentang rampasan kuasa 25 Oktober namun minggu lalu ia juga menyiarkan wawancara terperinci dengan jeneral tertinggi Abdel Fattah al-Burhan.

Demonstrasi menentang rampasan kuasa terbaharu Sudan, termasuk oleh puluhan ribu orang di seluruh negara pada Sabtu, telah berlaku kerap walaupun ada gangguan internet yang ketat.

Penunjuk perasaan menyuarakan keutamaan mereka untuk pemerintahan awam, peralihan yang terganggu apabila Burhan mengisytiharkan darurat, menahan pemimpin awam dan menggulingkan kerajaan yang ditabalkan selepas penggulingan presiden autokratik Omar al-Bashir pada April 2019.

Burhan mengetuai majlis tentera yang sebulan selepas penyingkiran Bashir mengarahkan pejabat Al Jazeera ditutup, kata rangkaian tersebut ketika itu. Ia dibenarkan dibuka semula pada Ogos tahun sama selepas pihak berkuasa mencapai persetujuan mengenai peralihan kepada pemerintahan awam yang kini terganggu.

Rejim Bashir juga telah menutup Al Jazeera, pada 2003.

Rampasan kuasa 25 Oktober telah mencetuskan kecaman global dan tindakan menghukum oleh negara-negara Barat.

Menurut kesatuan perubatan bebas, lima orang mati ditembak pada Sabtu manakala seorang mati akibat “lemas kerana gas pemedih mata”.

Kematian terbaharu menjadikan 21 orang terbunuh dalam protes antirampasan kuasa sejak serangan itu, menurut pegawai perubatan.

Tembakan kedengaran dan gas pemedih mata dilepaskan pada Sabtu ketika pasukan keselamatan cuba mematahkan protes, kata saksi dan wartawan AFP.

Polis bagaimanapun menafikan telah menggunakan “peluru hidup”, berkata mereka hanya guna “kekuatan minimum”, selain 39 anggotanya “cedera parah” dalam konfrontasi dengan penunjuk perasaan.

Polis menuduh penunjuk perasaan menyerang balai polis dan berkata tunjuk perasaan itu “bermula secara aman tetapi dengan cepat tersasar”.

Beratus-ratus orang turut berdemonstrasi di Eropah pada Sabtu, dan di Washington, DC, untuk menyokong penunjuk perasaan Sudan. – AFP, 14 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen