Angka kematian letupan hotel di Havana meningkat 40 orang


Pasukan penyelamat terus menjalankan operasi mencari di Hotel Saratoga yang runtuh di Havana. Angka kematian akibat letupan telah meningkat kepada 40. – Gambar EPA, 10 Mei 2022.

ANGKA kematian akibat letupan di sebuah hotel mewah di Havana meningkat kepada 40 orang, kata Kementerian Kesihatan semalam.

Kementerian berkata seramai 54 orang cedera dalam letupan yang berlaku minggu lalu termasuk enam masih dalam keadaan kritikal. Angka kematian pagi semalam ialah 35 orang.

Anggota penyelamat terus menjalankan operasi mencari di runtuhan hotel lima bintang Saratoga yang sedang diubah suai.

Tiada tetamu ketika letupan berlaku yang disebabkan oleh kebocoran gas.

Pencarian kini tertumpu pada ruang bawah tanah bangunan itu. 

Kementerian Pelancongan berkata ketika letupan terdapat 51 pekerja di dalam hotel berkenaan yang sedang bersedia untuk pembukaan semula selepas melakukan pengubahsuaian minggu ini.

Agensi berita negara ACN berkata empat mayat yang ditemui semalam adalah mayat pekerja hotel.

“Menurut ahli keluarga dianggarkan terdapat kira-kira 12 atau 13 orang masih terperangkap,” tambah agensi berita itu.

Empat tingkat pertama hotel itu musnah dalam letupan lewat pagi yang menyebabkan asap berkepul ke udara dan bangunan runtuh.

Letupan itu yang menurut seorang pegawai berlaku ketika sebuah tangki minyak sedang diisi semula oleh sebuah lori tangki, meletupkan tingkap dan memusnahkan kereta yang diletakkan di luar hotel.

Hartanah mewah itu terkenal kerana pernah menerima kunjungan selebriti seperti Madonna, Beyonce, Mick Jagger dan Rihanna. – AFP, 10 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen