INDUSTRI pelancongan mengharapkan peningkatan drastik dalam ketibaan pelancong luar negara bagi melonjakkan semula perniagaan mereka seiring dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa mulai bulan ini.
Mereka berharap peluang untuk terus bertahan dalam industri itu lebih cerah sekarang apabila pelancong asing dibenarkan masuk berikutan penutupan selama dua tahun disebabkan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun ada juga kebimbangan tempahan hotel tidak meningkat dan sambutannya kurang menggalakkan.
“Pada masa ini hotel masih belum menyaksikan sebarang peningkatan ketara, satu lagi alasan kerana bulan Ramadan, yang mana kadar penghunian hotel selalunya rendah,” kata ketua pegawai eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata, pembukaan semula sempadan perlu sambil menyatakan mereka hanya mungkin melihat peningkatan paling kecil pada bulan pertama atas pelbagai sebab, salah satunya ketidakpastian pengembara mengenai peraturan keluar masuk.
Ketika negara lain turut membuka semula sempadan mereka, beliau meramalkan ketibaan pelancong akan meningkat pada suku berikutnya.
Dalam usaha mencapainya, Yap berkata Malaysia mesti meningkatkan pemasaran dan promosi pelancongan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Kita perlu memperhebat pemasaran dan promosi pelancongan untuk meletakkan Malaysia kembali dalam peta pelancongan dunia.
“Kita sudah kalah kepada negara jiran yang secara agresif memasarkan inisiatif pembukaan semula mereka, Malaysia perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menarik pelancong bukan saja bagi percutian tetapi juga urusan perniagaan,” katanya.
Bagi hotel, Yap berkata mereka hanya boleh mencuba yang terbaik untuk menarik pelancong dengan memastikan keselamatan daripada jangkitan Covid-19.
Beliau berkata hotel menyediakan kakitangan mereka mengenai keperluan kebersihan dan keselamatan.
__full.jpg)
Masalah kekurangan kakitangan, kos tinggi
Selepas lebih dua tahun bertarung dengan pandemik Covid-19, Yap berkata, kekurangan tenaga kerja dalam industri perhotelan masih menjadi masalah utama.
Beliau berkata industri akan mengambil masa untuk bangkit dan pulih sambil mendakwa ia mungkin mengambil masa satu hingga dua tahun untuk meyakinkan orang ramai bekerja semula dalam industri perhotelan.
“Industri perhotelan memerlukan skim subsidi gaji kerajaan, dan rancangan untuk menaikkan gaji minimum akan menimbulkan beban tambahan kepada industri.”
Beliau berkata kos operasi sudah meningkat sambil menambah industri perhotelan terperangkap dalam keadaan itu.
“Kos operasi juga semakin meningkat, khususnya elektrik. Kenaikan tarif akan membebankan industri kerana ia dibuka semula sepenuhnya untuk perniagaan.
“Hotel terperangkap dalam situasi sukar kerana terpaksa beroperasi dan menanggung kos penggunaan elektrik yang tinggi,” katanya.
Beliau juga berkata ketika fasa peralihan ke arah endemik, hotel sentiasa menyusun semula keperluan pekerjaan untuk mengekalkan dan menarik semula orang ramai kembali ke dalam industri, dan ini tidak terhad kepada gaji yang lebih baik tetapi juga menyediakan pekerja untuk pembangunan kerjaya.
“Ini akan memastikan keuntungan jangka panjang dan bukannya penyelesaian jangka pendek serta-merta sahaja,” tegasnya.
Hotel bajet menunggu tempahan
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya dalam pada itu berkata, tempahan dalam kalangan hotel bertaraf bajet masih rendah.
Beliau berkata tempahan daripada pelancong asing tidak begitu menggalakkan sambil menambah kebanyakan pelanggan mereka dari Brunei dan Indonesia.
“Tempahan bilik masih rendah, mungkin kerana Ramadan dan pengembara antarabangsa masih belum memutuskan untuk keluar.
“Hotel tidak boleh hanya bergantung kepada pelancong tempatan. Jadi kami menantikan kehadiran pelancong asing sekarang apabila sempadan dibuka,” katanya.
Suraya berkata industri menghadapi kekurangan tenaga kerja yang teruk.
Katanya, penduduk tempatan hanya sedia bekerja dalam sektor tertentu.
“Penduduk tempatan hanya mahu bekerja dalam sektor tertentu dan realitinya industri perhotelan memerlukan pekerja dengan pelbagai kemahiran.” – 4 April, 2022.
Komen