Raja Salman dimasukkan ke hospital


Raja Salman pernah menjalani pembedahan membuang pundi hempedu pada 2020. – Gambar EPA, 8 Mei, 2022.

PEMERINTAH Arab Saudi Raja Salman dimasukkan ke hospital untuk menjalani ujian yang tidak dinyatakan secara terperinci, lapor media kerajaan pada Ahad.

Kerajaan itu secara umum cuba meredakan spekulasi mengenai kesihatan raja berusia 86 tahun itu, yang memerintah negara pengeksport minyak terkemuka dan ekonomi terbesar dunia Arab sejak 2015.

Beliau dimasukkan ke Hospital Pakar King Faisal di Jeddah pada Sabtu “untuk menjalankan beberapa pemeriksaan kesihatan”, menurut laporan rasmi, memetik kenyataan pihak istana.

“Semoga Tuhan memelihara Penjaga Dua Masjid Suci dan semoga baginda dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan,” kata kenyataan itu.

Jarang sekali kerajaan melaporkan keadaan kesihatan raja.

Pada 2017, Arab Saudi menolak laporan dan spekulasi yang semakin meningkat bahawa raja merancang turun takhta dan melepaskan kuasa kepada anaknya Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto negara itu.

Raja Salman pernah menjalani pembedahan membuang pundi hempedu pada 2020.

Beliau dimasukkan ke hospital baru-baru ini pada Mac, yang digambarkan media sebagai “ujian perubatan yang berjaya” dan untuk menukar bateri perentak jantungnya.

Di bawah pemerintahannya, Arab Saudi melancarkan pembaharuan ekonomi yang bercita-cita tinggi untuk era pasca minyak dan memberikan lebih banyak hak kepada wanita, sambil mengamalkan dasar luar lebih tegas termasuk turut campur tangan perang di negara jiran Yaman. – AFP, 8 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen