Raja Arab Saudi adakan mesyuarat kabinet secara maya 


Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dimasukkan ke hospital kerana masalah radang pundi hempedu.– Gambar EPA, 22 Julai, 2020.

RAJA Arab Saudi Salman Abdulaziz Al Saud pada Selasa mempengerusikan mesyuarat kabinet secara maya dari Hospital Pakar King Faisal di Riyadh, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Raja Salman merangkap Penjaga Dua Masjid Suci, dimasukkan ke hospital berkenaan pada Isnin untuk menjalani beberapa ujian disebabkan masalah radang pundi hempedu, menurut media negara itu.

Pemangku Menteri Media Dr Majid Abdullah Al-Qasabi dalam satu kenyataan berkata mesyuarat kabinet itu antara lain membincangkan laporan perkembangan berkaitan pandemik Covid-19.

Antara isu lain yang turut dibincangkan, persiapan musim haji dan mengenai kapal tangki minyak yang berlabuh di pelabuhan Ras Issa Yaman. – Bernama, 22 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen