PENERBANGAN komersial pertama dari ibu negara Yaman yang dikuasai pemberontak dalam tempoh enam tahun terpaksa ditangguhkan selepas gagal mendapat permit daripada pakatan yang diketuai Arab Saudi, kata syarikat penerbangan negara itu pada Ahad.
Lapangan terbang ibu negara itu dijangka menerima pesawat komersial pada pagi Ahad, menghidupkan semula harapan negara yang dilanda perang itu untuk menyambung semula beberapa operasi biasa.
Konflik selama tujuh tahun yang melaga-lagakan kerajaan Yaman disokong Arab Saudi dengan pemberontak Houthi yang disokong Iran telah meragut ratusan ribu nyawa dan menyebabkan berjuta penduduk di ambang kebuluran.
Pesawat dikendalikan oleh syarikat penerbangan nasional Yemenia itu dijangka membawa penumpang yang memerlukan rawatan perubatan dari Sanaa ke ibu negara Jordan, Amman sebagai sebahagian daripada gencatan senjata selama dua bulan yang berkuat kuasa pada awal April.
Tetapi beberapa jam sebelum penerbangan, syarikat penerbangan berkata di halaman Facebook rasminya yang “ia belum menerima permit operasi,” dan berkata menyatakan kekesalan mendalam kepada pengembara kerana tidak dibenarkan melakukan operasi yang sekian lama dinanti itu.
Ia menambah berharap “semua masalah akan diatasi dalam masa terdekat”, tanpa menyatakan tarikh ia akan beroperasi.
Seorang penumpang memberitahu AFP beliau menerima panggilan daripada syarikat penerbangan memintanya tidak pergi ke lapangan terbang.
Seorang pengurus di syarikat itu memberitahu AFP yang keizinan diperlukan daripada gabungan itu tidak diterima.
Tiada reaksi segera daripada gabungan tentera yang mengawal ruang udara Yaman.
Houthi mengambil alih Sanaa pada 2014, mendorong campur tangan tentera yang diketuai Arab Saudi untuk menyokong kerajaan pada tahun berikutnya dan mencetuskan peperangan yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Lapangan terbang di Sanaa yang dikuasai Houthi ditutup kepada penerbangan komersial sejak Ogos 2016 apabila serangan udara mengganggu perkhidmatan ke bandar itu.
Penerbangan bantuan terus mendarat di Sanaa, walaupun perkhidmatan dihentikan secara berkala.
Penangguhan penerbangan komersial menghalang ribuan orang awam Yaman yang sakit daripada mendapatkan rawatan perubatan segera di luar negara, kata kumpulan kemanusiaan CARE dan Majlis Pelarian Norway pada Ogos lalu.
Mereka juga menyebut kerugian ekonomi yang dianggarkan berjumlah berbilion.
Penerbangan harian keluar dari Aden (selatan) yang dikawal kerajaan dan Seiyun (tengah) beroperasi di dalam negara dan menghubungkan Yaman ke negara lain di rantau ini. – AFP, 24 April, 2022.
Komen