PEMBERONTAK Houthi melancarkan beberapa serangan ke selatan Arab Saudi pada Sabtu, termasuk ke atas kemudahan dikendalikan oleh syarikat minyak Aramco di Jizan, kata pakatan memerangi pemberontak Yaman diketuai Arab Saudi dalam satu kenyataan.
Memetik Agensi Akhbar Saudi (SPA), gabungan itu berkata empat dron telah dilancarkan ke wilayah itu, yang kerap disasarkan oleh dron Houthi dan serangan peluru berpandu.
Tiada kehilangan nyawa, katanya.
Selain kemudahan Aramco, pemberontak turut menyerang loji penyahgaraman di Al-Shaqeeq.
Dalam kenyataan kemudiannya, gabungan itu mengumumkan stesen janakuasa Dhahran Al-Janoub berhampiran Jizan juga turut diserang, dengan SPA menyiarkan gambar dan klip video menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran di tapak tersebut.
Sasaran keempat pada stesen minyak di Khamis Mushait.
Drone telah dipintas dan dimusnahkan berhampiran Yaman selepas serangan, dengan peluru berpandu balistik yang ditembakkan ke arah bandar Jazan turut dipintas, kata gabungan itu.
Sserangan terbaharu itu berlaku selepas kilang penapisan minyak di ibu negara Arab Saudi, Riyadh disasarkan pada 10 Mac oleh dron, satu operasi yang didakwa oleh Houthi.
Awal minggu ini, Houthi menolak jemputan enam negara Majlis Kerjasama Teluk untuk menghadiri rundingan konflik Yaman, yang akan diadakan di Riyadh mulai 29 Mac.
Arab Saudi mengetuai pakatan tentera di Yaman untuk menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang terlibat dalam konflik berdarah menentang Houthi sejak pertengahan 2014.
Peperangan itu telah mengorbankan ratusan ribu nyawa, secara langsung atau tidak langsung, dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal, dalam apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Pada Rabu, PBB menyuarakan kekecewaan selepas persidangan penderma mengumpulkan AS$1.3 bilion, jauh daripada sasaran AS$4.27 bilion.
Pemberontak Houthi sering menyasarkan lapangan terbang dan kemudahan minyak di Arab Saudi, salah satu pengeksport minyak terbesar dunia.
Serangan terbaharu ini berlaku ketika Aramco bersiap sedia untuk mengumumkan keputusan 2021 pada Ahad.
Pasaran minyak global berada dalam keadaan kucar-kacir berikutan operasi ketenteraan Rusia di Ukraine dan kesannya terhadap bekalan tenaga. – AFP, 20 Mac, 2022.
Komen