Gencatan senjata Houthi mampu tamatkan perang Yaman, kata Iran


Houthi mengumumkan cadangan gencatan senjata dan menawarkan rundingan damai dengan Arab Saudi. – Gambar EPA, 29 Mac, 2022.

IRAN menawarkan sokongannya pada Selasa berhubung rancangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Houthi yang disokongnya dalam perang Yaman, dengan berkata ia boleh menjadi “platform sesuai” untuk menamatkan konflik.

Pemberontak Houthi pada Sabtu mengumumkan cadangan itu dan menawarkan rundingan damai dengan syarat Arab Saudi menghentikan serangan udara dan sekatan terhadap Yaman serta menyingkirkan “tentera asing”.

Tawaran itu datang sehari selepas pemberontak menembak 16 sasaran di dalam kerajaan itu, yang mengetuai pakatan tentera yang bertempur di pihak kerajaan Yaman diiktiraf antarabangsa.

Pada Selasa, jurucakap kementerian luar Iran, Saeed Khatibzadeh berkata rancangan Houthi “mengandungi mesej keazaman yang kuat untuk menamatkan perang”.

“Sekiranya terdapat interaksi yang serius dan positif dengan (rancangan), ia boleh menyediakan platform yang sesuai untuk menamatkan konflik itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Gabungan diketuai Arab Saudi campur tangan di Yaman pada 2015 selepas Houthi merampas ibu kota Sanaa pada tahun sebelumnya, dan ia menguatkuasakan sekatan udara dan laut di kawasan dikuasai pemberontak sejak 2016.

“Kami berharap menjelang bulan suci Ramadan, dengan mengutamakan isu kemanusiaan dan memajukan pertukaran tahanan, kami akan melihat berakhirnya konflik dan menyaksikan perdamaian nasional di Yaman,” kata Khatibzadeh.

Perang Yaman membunuh ratusan ribu orang secara langsung atau tidak dan menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal, mewujudkan apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Majlis Kerjasama Teluk enam negara bulan ini mencadangkan mengadakan rundingan antara puak Yaman yang berperang di Riyadh, dari 29 Mac hingga 7 April.

Bagaimanapun pemberontak bertindak balas dengan mengatakan walaupun mereka terbuka untuk menyelesaikan konflik secara aman, mereka tidak akan mengambil bahagian dalam dialog “di negara musuh”. – AFP, 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen