Suhakam hantar pasukan siasat kes tahanan Rohingya merusuh


Kalidevi Mogan Kumarappa

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menghantar pasukan untuk menyiasat kejadian tahanan Rohingya merusuh dan lari dari Depoh Tahanan Imigresen Sungai Bakap.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata, badan itu juga setakat ini dapat memastikan dakwaan rusuhan berlaku disebabkan tahanan sakit tidak diberikan rawatan.

“Kami akan menghantar satu pasukan ke sana dalam masa terdekat untuk menyiasat kejadian ini.

“Kami (Suhakam) tidak pernah dengar mengenai tahanan tidak diberikan rawatan kesihatan ketika sakit.

“Kebiasaannya mereka akan dibawa kepada pegawai perubatan yang ditempatkan di situ,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Joseph turut menggesa Jabatan Imigresen membenarkan wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menemui tahanan.

“Jabatan Imigresen perlu memberi akses kepada UNHCR untuk melihat sama ada mereka benar-benar etnik Rohingya.

“Jika ya, bebaskan mereka dengan kad UNHCR seperti 150,000 etnik Rohingya yang sudah berada di sini,” katanya yang menambah tiada guna bagi imigresen menahan kumpulan tersebut.

Seramai 528 tahanan etnik Rohingya itu lolos dari depoh tahanan di Bandar Baharu, Kedah itu dalam kejadian jam 4.30 pagi selepas membuat rusuhan.

Kumpulan itu berkenaan didakwa bertindak demikian kerana seorang tahanan mati akibat tidak diberikan rawatan kesihatan.

Sehingga pagi ini, seramai 130 tahanan iaitu 99 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan masih belum dijumpai.

Seramai enam tahanan tersebut pula maut akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang.

Akibat insiden itu, Jabatan Imigresen turut memindahkan 448 tahanan etnik Rohingya ke empat depoh berasingan di Selangor, Perak dan Melaka.

Menurut polis, 144 tahanan dihantar ke Depoh Semenyih, dan selebihnya ke Depoh Machap Umboo (104 tahanan),  Depoh Langkap (100 tahanan) dan 100 lagi di Depoh Bukit Jalil.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata satu kematian dilaporkan berlaku di dalam depoh tahanan sementara tersebut sebelum kejadian rusuhan.

“Kematian kerana sakit biasa, tiada kena mengena mengenai rusuhan dan kita masih menyiasat lanjut mengenai kes tersebut,” katanya.– 21 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen