Undang-undang berita palsu akan sasar portal berita bukan arus perdana


Kamles Kumar

Undang-undang baru berkaitan berita palsu dicadangkan kerajaan dibimbangi akan digunakan untuk menekan portal berita bukan arus perdana yang kritikal terhadap kerajaan, situasi yang boleh memburukkan kebebasan bersuara di negara ini, kata kumpulan peguam dan wartawan. – Gambar AFP, 13 Februari, 2018.

UNDANG-UNDANG cegah berita palsu akan menyasarkan pengamal media bukan arus perdana yang tidak selari dengan pandangan Putrajaya, kata peguam dan kumpulan pergerakan masyarakat sivil.

Peguam HR Dipendra berkata kerajaan hanya menggunakan alasan berita palsu untuk mengenakan portal berita yang tidak ditadbir Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

“Kerajaan mahu menyasarkan media alternatif seperti portal berita. Niat mereka untuk mengawal portal berita menggunakan (alasan) berita palsu.

“Ia berita sebenar tetapi tidak selalu memihak atau bersetuju dengan kerajaan dan itulah yang mereka mahu kawal,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Minggu lepas, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan yang kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang baru untuk mengekang berita palsu yang disifatkannya sebagai ancaman kepada kestabilan politik dan kesejahteraan awam.

Sebuah pasukan tindakan khas dibentuk bulan lepas bagi mengkaji undang-undang baru itu.

Dipendra juga mengatakan dengan pengenalan peruntukan berita palsu, ia akan menambah batasan kebebasan bersuara di Malaysia.

“Malaysia tak perlukan undang-undang berita palsu. Ia adalah sesuatu yang mengekang kebebasan bersuara.”

Beliau menambah yang organisasi berita dan pengulas awam akan bimbang dikenakan hukuman seperti penjara dan denda sekiranya undang-undang itu dilaksanakan.

Undang-undang semasa yang mengawal selia penyebaran berita palsu menyentuh soal kaum dan agama serta kenyataan fitnah sudah mencukupi, kata peguam itu lagi.

Berbanding memberi tumpuan kepada organisasi media, Dipendra mencadangkan Putrajaya membuat perjanjian dengan gergasi internet seperti Google dan Facebook untuk mengekang berita palsu.

Katanya, dua gergasi antarabangsa itu adalah pemain utama menggalakkan berita palsu dengan mewujudkan algoritma yang disesuaikan dengan pengguna mereka dan usaha mengekang berita palsu lebih berkesan dengan kerjasama mereka.

“Jika kerajaan benar-benar berani, mereka patut bermula dengan Google dan Facebook. Ada algoritma yang dilakukan menyasarkan jenis berita tertentu kepada orang tertentu. Ia seolah pasukan upahan,” kata Dipendra.

Centre for Independent Journalism (CIJ) pula mengatakan wujud ancaman kepada kewartawanan di Malaysia.

“Dalam konteks semasa, tiada jaminan yang undang-undang ini tidak akan membataskan kandungan kewartawanan, mana-mana pihak boleh terancam.

“Malaysia mempunyai beberapa undang-undang yang mempunyai tafsiran luas dan boleh disalah guna,” kata Pengarah CIJ Jac Kee dalam satu kenyataan.

Katanya, berbanding mencadangkan penggubalan undang-undang berita palsu, kerajaan perlu mendidik rakyat bagi mengenal pasti berita palsu.

“Kita memang perlu untuk menentang salah maklumat dan ini boleh dilakukan dengan memperkukuhkan kecerdikan media kritikal dalam kalangan pembaca/ rakyat Malaysia.

“Dan kita juga perlu mengukuhkan kod dan amalan etika wartawan- tanpa mengira media atau platform,” kata Jac Kee.

Kumpulan wartawan, Gerakan Media Marah (Geramm) pula menggesa kerajaan mempertimbangkan saranan pengamal media dalam penggubalan undang-undang berita palsu kerana ia merupakan kebimbangan serius kepada kewartawanan media negara ini.

“Geramm percaya masih belum perhubungan rapat dengan media kita mengenai apakah sebenarnya undang-undang itu, dan kesan atau pengaruhnya kepada kerja kami selaku wartawan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Ia juga menimbulkan kebimbangan mengenai tafsiran yang akan digunakan untuk mengekang berita palsu dan sekiranya undang-undang boleh disalah guna.

“Geramm percaya memberikan autoriti kepada badan yang kuasanya datang daripada politik sentiasa merbahaya dan sangat sukar untuk mengekalkan kebertanggungjawapan.”

Najib pula berkata Kabinet sedang mempertimbangkan undang-undang khusus mengekang “berita palsu” untuk dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang dijadualkan bermula pada 5 Mac.

Cadangan itu bagaimanapun diselar kumpulan seperti Lawyers for Liberty yang bimbang ia akan digunakan untuk menekan kebebasan bersuara dan kewartawanan yang kritikal terhadap kerajaan.

Majlis Peguam pula mengatakan Malaysia sudah mempunyai undang-undang mencukupi untuk mengekang penyebaran “berita palsu”. – 13 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen