Kumpulan peguam kecam langkah Putrajaya kawal 'berita palsu'


Bede Hong

JAWATANKUASA khas Putrajaya untuk memformulasikan undang-undang bagi membendung “berita palsu” perlu diberi perhatian serius, kerana ia mungkin mengorbankan kebebasan bersuara, ekspresi, maklumat dan media, kata kumpulan peguam.

Undang-undang baru itu juga mungkin terdedah kepada penyalahgunaan mengenai sama ada kerajaan dapat membezakan antara maklumat yang secara “jelas direka” atau sebaliknya mengandungi kesilapan, kata Lawyers for Liberty (LFL).

“Dengan adanya undang-undang yang begitu luas, terdapat keperluan agar lebih banyak undang-undang yang berpotensi disalahgunakan kerana kita semua melihat undang-undang ini tidak adil dan terpilih digunakan terhadap mereka yang dilihat sebagai anti-kerajaan sementara mereka yang pro-kerajaan biasanya terlepas,” kata Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen dalam satu kenyataan hari ini.

“Bolehkah kita mengharapkan pihak berkuasa menjadi pengadil yang saksama, atau adakah mereka akan menafsirkan berita yang tidak menyenangkan sebagai ‘berita palsu’? Adakah kita akan mempunyai versi ‘kebenaran’ Orwellian, seperti ia hanya ‘benar’ jika maklumat tersebut disahkan oleh kerajaan?”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said hari ini mengumumkan pasukan petugas telah dibentuk untuk mengkaji undang-undang baru yang bertujuan membendung berita palsu, yang boleh mengancam kestabilan politik, dan menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Pasukan petugas itu mungkin memberikan cadangan untuk diserahkan kepada Kabinet untuk dipertimbangkan dan dibawa ke Parlimen pada sidang seterusnya.

Pasukan petugas itu bertemu buat pertama kalinya minggu lepas dan termasuk wakil daripada pihak  Polis, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Terdapat “kebimbangan serius” laporan bercanggah atau kesilapan sebenar menjadi satu dalih bagi menyerang media bebas, kata Paulsen.

“Kami menyaksikan Malaysiakini disiasat berkali-kali dan ketua pengarang dan ketua pegawai eksekutifnya didakwa selepas memuat naik video mengenai sidang akhbar dituduh ‘melampau’.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga meluluskan sekatan akses ke beberapa laman web mengenai pelaporan asli yang menggangu kerajaan, termasuk The Malaysian Insider, menyebabkan portal berita itu ditutup,” katanya.

Terdapat undang-undang yang mencukupi untuk menangani ucapan atau komunikasi yang menyinggung, seperti Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, katanya.

“‘Berita palsu’ bukanlah ancaman keterlaluan kepada masyarakat umum atau keselamatan negara sebagaimana dinyatakan pihak kerajaan tetapi hanya realiti Internet dan media sosial.

“Cubaan mengawal apa yang ‘benar’ atau ‘palsu’ dalam ruang siber adalah sia-sia, seperti yang kita maklum, tiada siapa mempunyai kuasa mutlak terhadap ‘kebenaran’,” kata Paulsen.

Daripada membuat undang-undang baru, LFL mencadangkan agar kerajaan menumpukan perhatian kepada mendidik orang ramai agar waspada dan menyedari sumber bagi maklumat, agar mereka lebih arif dalam mencerna dan berkongsi kandungan berita. – 2 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen