SUDAH cukup undang-undang bagi menangani berita palsu di Malaysia, kata Presiden Badan Peguam George Varughese.
Katanya, tiada keperluan mendesak bagi kerajaan memperkenalkan undang-undang baru kerana mereka boleh menilai peruntukan sedia ada kini.
“Sudah wujud peruntukan mencukupi untuk menangani isu seperti ini.
“Mungkin ada elemen (dalam undang-undang baru) yang tidak diliputi oleh akta lain,” kata George kepada wartawan ketika melancarkan bangunan baru Majlis Peguam di Kuala Lumpur.
Katanya, kerajaan perlu berbincang dengan pihak berkepentingan termasuk peguam bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai undang-undang baru itu.
“Bagus sekali kerajaan berunding dengan semua pihak berkepentingan. Saya pasti mereka akan hubungi Majlis Peguam,” kata George.
Minggu lepas, Najib mengumumkan yang kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang baru untuk mengekang “berita palsu”, yang disifatkannya mengancam kestabilan politik dan kesejahteraan awam.
Sebuah pasukan tindakan khas dibentuk bulan lepas untuk mengkaji undang-undang baru itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata pasukan tindakan khas itu dianggotai wakil Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty mengatakan hasrat Putrajaya untuk menggubal undang-undang mengekang “berita palsu” adalah “kebimbangan serius” kerana ia boleh digunakan untuk mengekang kebebasan bersuara, maklumat dan media di negara ini.
Undang-undang baru itu juga boleh disalah guna kerana wujud pertikaian kemampuan kerajaan untuk membezakan maklumat “sengaja direka” dan laporan media kritikal terhadap mereka, kata kumpulan itu lagi. – 9 Februari, 2018.
Komen