Dewan Rakyat rujuk RUU anti lompat parti kepada Jawatankuasa Pilihan Khas


Chan Kok Leong

SELEPAS perbahasan maraton yang berlangsung lebih tujuh jam melibatkan 59 ahli Parlimen, Dewan Rakyat sebulat suara memutuskan untuk merujuk penggubalan undang-undang anti lompat parti kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

Usul itu yang dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) pagi tadi diluluskan dengan undi suara pada 5.38 petang.

Bercakap semasa penggulungan Wan Junaidi berkata kerajaan menerima rancangan awalnya untuk hanya meminda Perkara 10 (3a) tidak mencukupi untuk menangani lompat parti.

“Lompat parti mempunyai implikasi yang luas. Justeru selepas mesyuarat perdana menteri dan pembangkang pagi tadi kerajaan memutuskan untuk merujuk isu itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya.

Selepas berbincang dengan pelbagai pihak Wan Junaidi berkata Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan dipengerusikan sendiri dan mempunyai 11 ahli. 

“Ahlinya ialah saya sendiri Azalina Othman Said (Pengerang-BN), Nazri Aziz (Padang Rengas-BN), Hamzah Zainuddin (Larut-PN), Takiyuddin Hassan (Kota Baru-PN), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti-GPS), Gobind Singh Deo (Puchong-PH), Hanipa Maidin (Sepang-PH), Wilfred Madius Tangau (Tuaran-PH), Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baru-PH) dan Darell Leiking (Penampang-Warisan).

“Jawatankuasa pilihan ini boleh memanggil mana-mana pakar dan individu untuk memberikan maklumat,” kata Wan Junaidi.

Semasa perbahasan ahli Parlimen mencadangkan supaya jawatankuasa pilihan harus menentukan contoh lompat parti bagi mengelakkan kekeliruan, memansuhkan Perkara 48 (6) dan memansuhkan klausa penggulingan Seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966.

Terdapat juga cadangan untuk mengecualikan mereka ahli Parlimen parti bebas daripada tertakluk kepada undang-undang anti lompat parti kerana mereka menang atas merit mereka sendiri.

Selain itu ahli Parlimen turut meminta Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melihat situasi melibatkan Parlimen tergantung dan isu seperti parti keluar daripada gabungan seperti Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan yang menyebabkan kerajaan Pakatan tumbang pada 2020.

Cadangan lain yang dikemukakan ialah kerajaan memastikan pengagihan dana kawasan pilihan raya yang adil dan sama rata untuk semua ahli Parlimen tanpa mengira gabungan untuk menghapuskan satu sebab lompat parti.

Sidang khas hari ini diadakan supaya kerajaan boleh membentangkan rang undang-undang pindaan Perlembagaannya yang bertujuan membenarkan Parlimen menggubal undang-undang baharu untuk mengawal lompat parti.

Selepas berbincang dengan blok pembangkan utama Pakatan Harapan kerajaan memutuskan untuk merujuk pindaan dan pembentukan undang-undang anti lompat parti baharu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas. – 11 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen