Undang-undang antilompat parti mesti kecualikan ahli Parlimen Bebas, kata Sng


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Bebas mendapat mandat daripada rakyat atas kredibiliti sendiri. – Gambar Facebook, 11 April, 2022.

AHLI Parlimen Bebas mesti dikecualikan daripada undang-undang antilompat parti kerana kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya adalah atas kredibiliti mereka sendiri, kata Larry Sng.

“Ini kerana mereka mendapat mandat daripada rakyat. Mereka menang atas kredibiliti sendiri.

“Mereka tidak gunakan logo parti, slogan atau dana daripada parti,” kata ahli Parlimen Julau itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Sng menang kerusi Julau pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket Bebas tetapi kemudian menyertai PKR. 

Beliau umum keluar parti pada Februari tahun lalu dan menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pada 21 November lalu, Sng diumum sebagai timbalan presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang kemudian diangkat sebagai presiden pada 8 Januari.

Wakil rakyat berusia 42 tahun itu anak kepada ahli perniagaan Sarawak Sng Chee Hua, yang juga Adun Pelagus dari 1992-2001.

RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan dibentangkan bagi memperkenalkan klausa yang akan membolehkan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani lompat parti. 

Ia dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini. – 11 April, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen