Semak semula klausa penyingkiran apabila gubal RUU antilompat parti, kata Muhyiddin


Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin menggesa Putrajaya kaji semula Akta Pertubuhan supaya wakil rakyat yang dipecat parti boleh dapatkan keadilan di mahkamah sebelum dipaksa kosongkan kerusi. – Gambar Facebook, 11 April, 2022.

KERAJAAN perlu mengkaji semula Seksyen 18c Akta Pertubuhan 1966 supaya wakil rakyat yang dipecat boleh mendapatkan keadilan di mahkamah sebelum dipaksa mengosongkan kerusi mereka, kata Muhyiddin Yassin.

Merujuk kepada ahli Parlimen Pekan Najib Razak, beliau berkata adalah tidak adil apabila wakil rakyat yang disabitkan bersalah oleh mahkamah dibenar kekal jawatan semasa merayu kes manakala ahli Parlimen yang dipecat parti terpaksa kosongkan kerusi.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang disabitkan boleh terus jadi ahli Parlimen sehingga kesnya diputuskan Mahkamah Persekutuan atau permohonannya untuk pengampunan diraja dimuktamadkan. Proses ini boleh ambil masa bertahun-tahun.

“Tetapi bagi ahli Parlimen yang bersuara menentang partinya, dia akan dipecat dan kemudian terpaksa kosongkan kerusi itu kerana dia tidak boleh cabar keputusan. Adakah ini adil?” kata ahli Parlimen Pagoh semasa perbahasan undang-undang anti lompat parti di Dewan Rakyat hari ini.

Presiden Bersatu itu berkata jika perkara ini dibenarkan berlaku, maka tiada ahli Parlimen akan berani bersuara menentang parti.

“Ini akan menyebabkan ahli Parlimen yang mewakili rakyat akan dibisukan dan didiamkan. Kita mengutamakan kepentingan parti sebelum kepentingan rakyat,” kata Muhyiddin.

Seksyen 18c Akta tersebut ialah klausa penyingkiran yang mengecualikan keputusan parti politik daripada dicabar di mahkamah.

Ironinya, ketika Muhyiddin merujuk kepada bekas presiden Umno Najib yang memecatnya daripada Umno kerana mengkritik skandal 1MDB pada 2016, presiden Bersatu itu juga memecat enam ahli Parlimen, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, kerana mengkritik keputusannya mengeluarkan Bersatu daripada kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Keputusan Muhyiddin menerima 10 ahli Parlimen PKR dan mengeluarkan Bersatu daripada Pakatan menyebabkan Kerajaan Persekutuan ketika itu tumbang. Ini seterusnya menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan yang lain di Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

Enam bulan kemudian, Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin menyebabkan kejatuhan kerajaan Warisan di Sabah selepas lebih sedozen Adun keluar parti.

Sejak 2018, Bersatu pimpinan Muhyiddin telah memperoleh 25 ahli Parlimen dan lebih sedozen Adun dan senator untuk menyertai parti mereka.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata cadangan pindaan Perlembagaan kepada Perkara 10 (3a) akan melanggar hak individu untuk kebebasan berpersatuan.

“Kita kini melepaskan hak asasi kita sebagai individu dan sebagai ahli Parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan. Oleh itu, kita perlu berhati-hati untuk meneliti semua hujah apabila menggubal undang-undang antilompat parti,” kata Muhyiddin.

Dewan Rakyat kini sedang membahaskan penggubalan undang-undang antilompat parti dalam sidang khas hari ini sebelum memutuskan untuk menghantar rang undang-undang itu kepada jawatankuasa pilihan khas dua parti.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pindaan Perlembagaan Perkara 10 (3a) selepas Pakatan Harapan memberitahu kerajaan mereka tidak akan menyokongnya dalam bentuk semasa kerana ia akan memberi kerajaan terlalu banyak kuasa untuk memutuskan sama ada ahli Parlimen boleh melintasi garis parti sementara kurang berusaha untuk menghentikan lompat parti. – 11 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen