Pendirian Putrajaya isu kahwin bawah umur mengelirukan, kata kumpulan wanita


Aminah Farid

Menurut Unicef ​​Malaysia, dianggarkan 1,500 perkahwinan kanak-kanak berlaku setiap tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

KEENGGANAN Putrajaya untuk menetapkan sekatan undang-undang ke atas perkahwinan kanak-kanak mencetus mesej mengelirukan dan berbahaya dengan tanggapan perkahwinan bawah umur dibenarkan walaupun ia tidak digalakkan, kata kumpulan hak wanita.

Mesej tidak menentu itu, serta pendirian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ia akan berusaha mencegah perkahwinan kanak-kanak menerusi pendekatan lebih lembut, tidak akan melindungi kanak-kanak daripada dinikahkan.

Kiran Kaur, pegawai advokasi bagi Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) berkata, walaupun benar pendekatan lain seperti pendidikan dan kesedaran penting untuk menangani perkahwinan kanak-kanak, ia tidak mencukupi.

Pembaharuan undang-undang dan masyarakat mesti dilakukan serentak untuk mencapai perubahan yang mampan dan berkesan, atau pendekatan yang lembut akan berakhir dengan tidak produktif.

Kiran berkata, oleh itu, undang-undang komprehensif selaras dengan piawaian antarabangsa mesti menjadi asas kepada reformasi perkahwinan kanak-kanak.

“Undang-undang dan piawaian akan menetapkan garis dasar jelas bagi tingkah laku yang boleh diterima dan tidak boleh diterima yang tidak memberi ruang untuk tafsiran berbahaya.

“Adalah membimbangkan ini justifikasi yang diberikan untuk membenarkan amalan berbahaya seperti itu diteruskan, kerana ia menunjukkan terdapat kawasan kelabu atau jalan tengah yang boleh dicapai dalam amalan sedemikian.

“Segala perkara yang bertentangan mungkin paradoks, dan mencadangkan kepentingan kanak-kanak masih boleh dilindungi dalam institusi yang membenarkan pencabulan autonomi, mengekalkan kitaran kelemahan sosioekonomi, menjejaskan hak kanak-kanak untuk pendidikan dan penjagaan kesihatan, dan meletakkan kanak-kanak berisiko keganasan fizikal, seksual dan emosi,” katanya.

“Hakikatnya kepentingan terbaik kanak-kanak itu terletak pada larangan undang-undang lengkap perkahwinan bawah umur, dilengkapi dan disokong oleh tindak balas dasar yang berkesan.”

Minggu lalu, menteri yang bertanggungjawab, Rina Harun berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

Rina Harun dikecam pembangkang kerana keengganan kerajaan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, menyatakan terdapat banyak aspek berbeza perlu ditangani dalam mencegah perkahwinan kanak-kanak, selain mengubah suai klausa berkanun.

Kementerian akan menanganinya dari segi pendidikan, aktivisme, pengukuhan institusi keluarga dan menyediakan sokongan sosioekonomi masyarakat, kata Rina.

Sisters In Islam (SIS) dalam pada itu berkata, adalah membimbangkan apabila kementerian mengambil langkah ke belakang dalam melindungi kanak-kanak.

“SIS mengecam respons menteri, Rina Harun, mengenai rancangan kerajaan untuk tidak mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.”

“Tanggapan beliau terhadap ahli Parlimen lain juga mencerminkan keengganan kementerian untuk meneruskan Pelan Strategik Nasional dalam Mengendalikan Punca Perkahwinan Kanak-Kanak yang dilancarkan oleh kementerian pada 17 Januari 2020,” kata SIS merujuk kepada pelan yang dibangunkan oleh kerajaan terdahulu Pakatan Harapan (PH).

“Selain itu, beliau juga terlepas pandang Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang Malaysia tandatangani pada 1995 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang ditandatangani Malaysia pada 1994 untuk melindungi hak wanita dan kanak-kanak di Malaysia,” tegas SIS.

Respons Rina terhadap Nurul Izzah mendapat kritikan daripada beberapa ahli Parlimen pembangkang yang menyelar kerajaan kerana tidak mahu mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

Mereka berkata, keputusan kementerian untuk menangani isu itu dengan cara lain satu alasan yang tidak tepat untuk tidak mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dan sebaliknya perlu meneruskan rancangan yang ditetapkan oleh kerajaan PH sebelum ini.

Perkahwinan kanak-kanak sudah menjadi isu lama di Malaysia. Menurut Unicef ​​Malaysia, dianggarkan sekurang-kurangnya 1,500 perkahwinan kanak-kanak berlaku setiap tahun.

SIS berkata, perkahwinan kanak-kanak berbahaya kepada kanak-kanak kerana ia menjejaskan kehidupan mereka sebagai remaja dan dewasa. Mereka yang berkahwin pada usia muda biasanya mempunyai akses terhad kepada pendidikan yang menjebak mereka ke dalam kitaran kemiskinan, menurut kajian.

“Kanak-kanak yang sudah berkahwin juga berisiko mengalami komplikasi kesihatan dan mempunyai risiko kematian ibu dan bayi yang lebih tinggi,” kata SIS.

“Berapa lama kita perlu menunggu sehingga anak-anak kita dilindungi? Kementerian perlu mengambil perhatian segera dan serius terhadap isu perkahwinan kanak-kanak bukan sahaja demi masa depan anak-anak kita tetapi juga untuk masa depan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan progresif.”

Kanak-kanak yang sudah berkahwin juga berisiko mengalami komplikasi kesihatan, kata SIS.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2022.

Sementara itu, All Women’s Action Society (AWAM) mengalu-alukan langkah alternatif kementerian untuk mencegah perkahwinan kanak-kanak.

“Untuk menangani perkahwinan kanak-kanak, pendekatan multidimensi diperlukan kerana isu ini diteruskan oleh faktor sosioekonomi,” kata Jernell Tan Chia Ee, pegawai maklumat dan komunikasi AWAM.

“Oleh itu, kami memuji komitmen kementerian wanita untuk melaksanakan pendekatan sedemikian melalui penubuhan jawatankuasa untuk menyelia pelaksanaan Pelan Strategi Nasional Menangani Punca Perkahwinan Kanak-Kanak,” katanya.

Beliau berkata, dua faktor sosioekonomi iaitu kemiskinan dan kekurangan peluang, saling berkaitan.

Beliau berkata, banyak kajian ke atas negara Afrika dan Asia Selatan secara konsisten mendapati status sosioekonomi yang rendah dikaitkan dengan perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur, dan ini boleh dijelaskan dengan perkahwinan kanak-kanak dilihat sebagai strategi ekonomi untuk mengurangkan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.

Keadaan sedemikian, kata Jernell, berkait rapat dengan akses terhad kepada persekolahan dan peluang pendidikan berkualiti.

“Oleh itu, bukan sahaja subsidi yang membolehkan keluarga kurang berkemampuan menghantar anak perempuan mereka ke sekolah tetapi juga akses kepada sumber dan peluang yang boleh diterjemahkan kepada peluang jangka panjang penting dalam menangani pemacu ekonomi perkahwinan kanak-kanak ini,” katanya.

AWAM berkata, pendekatan ini mesti disertakan dengan proses pemantauan dan penilaian berkesan.

Ia juga berkata, kementerian bagaimanapun harus mempunyai jangka masa tertentu ke arah melarang perkahwinan kanak-kanak secara sah.

“Ini akan memupuk dan mengukuhkan komitmen kerajaan kita untuk bertoleransi sifar terhadap diskriminasi terhadap kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan,” katanya. – 3 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen