Kerajaan tak bercadang haramkan perkahwinan kanak-kanak, kata menteri


Rina Harun berkata isu perkahwinan kanak-kanak harus ditangani melalui pendidikan, aktivisme, pengukuhan institusi keluarga dan sokongan sosio-ekonomi masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2022.

PUTRAJAYA tidak berhasrat untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh-PH) menteri itu berkata kerajaan terus berdedikasi dalam mencegah perkahwinan kanak-kanak.

Rina Harun berkata banyak aspek berbeza diperlukan untuk menangani perkahwinan kanak-kanak selain mengubah suai klausa berkanun.

Beliau menyatakan bahawa isu itu harus ditangani melalui pendidikan, aktivisme, pengukuhan institusi keluarga dan sokongan sosio-ekonomi masyarakat.

“Kerajaan tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur buat masa ini. Bagaimanapun kerajaan tetap komited untuk membendung perkahwinan bawah umur dengan melaksanakan Strategik Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

“Dalam masa sama jawatankuasa dibentuk untuk memantau pelaksanaan dan pembangunan program yang dirancang,” katanya. 

Nurul Izzah bertanya mengenai perkembangan rancangan melarang perkahwinan kanak-kanak bagi mengelakkan eksploitasi kanak-kanak dan sama ada kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkuasa agama Islam negeri kerana umur sah untuk berkahwin terletak di bawah bidang kuasa mereka.

Rina menjawab soalan kedua Nurul Izzah dengan berkata Putrajaya akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Jabatan Kehakiman Syariah.

“Saya menggesa semua pihak yang berkepentingan sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan atau negeri supaya lebih prihatin terhadap isu itu dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan menguruskan perkahwinan bawah umur bagi menjaga masa depan anak-anak kita,” katanya.

Pertubuhan hak wanita menyambung semula permintaan mereka pada Oktober untuk Putrajaya melancarkan semula rancangan nasional pentadbiran Pakatan Harapan untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak. – 22 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen