Pecat menteri, timbalan menteri tidak hadir undi Sosma, kata Tengku Razaleigh


Ahli Parlimen Gua Musang berkata, mereka yang tidak hadir perlu bertanggungjawab kerana menyebabkan usul penting mengenai keselamatan negara tidak diluluskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2022.

MENTERI dan timbalan menteri yang tidak hadir semasa pengundian bagi usul melanjutkan kesahihan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dipecat, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, mereka yang tidak hadir perlu bertanggungjawab kerana menyebabkan usul penting mengenai keselamatan negara tidak diluluskan.

Veteran Umno itu menambah, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob harus memecat mereka kerana mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama apabila usul sebegini, untuk menjaga keselamatan negara, tidak diendahkan, tidak dipedulikan oleh menteri kabinet yang bertanggungjawab membuat keputusan supaya ia diteruskan, dipanjangkan,” katanya dipetik Astro Awani selepas merasmikan mesyuarat agung Gagasan Melayu Perak di Kuala Lumpur hari ini.

Hansard Parlimen menunjukkan dua menteri kanan dan lima menteri adalah antara 29 ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir semasa pengundian.

Rekod rasmi menunjukkan menteri kanan Mohamed Azmin Ali (Gombak) dan Hishammuddin Hussein (Sembrong) tidak berada di Dewan Rakyat ketika Parlimen mengadakan pengundian pada jam 5 petang Rabu.

Hansard juga menunjukkan lima menteri – Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), Wee Ka Siong (Ayer Hitam), M Saravanan (Tapah), Maximus Johnity Ongkili (Kota Marudu) dan Annuar Musa (Ketereh) – tidak hadir semasa pengundian.

Bagaimanapun, Wee dan Saravanan berada di luar negara dalam lawatan kerja.

Menurut Hansard, enam timbalan menteri yang tidak hadir adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah), Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal) dan Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh).

Bagaimanapun beliau berkata, Ismail tidak akan memecat mereka yang tidak mengundi kerana ia akan menjejaskan kedudukannya.

“Beliau tidak akan melakukannya, beliau tidak akan menyingkirkan mereka. Jika anda menyingkirkannya, habislah beliau,” katanya.

Menurutnya, keputusan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap parti pemerintah.

“Anda memutuskan untuk membawa usul di Parlimen, anda sedar anda mempunyai bilangan yang kecil, kenapa tidak hadir,” tegasnya seperti dipetik portal berita itu.

Pada Rabu, ahli Parlimen pembangkang mengundi menentang usul untuk melanjutkan kesahihan peruntukan undang-undang yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari di bawah Sosma.

Seramai 86 ahli Parlimen mengundi menentang usul berbanding 85 yang menyokong. Seramai 50 ahli Parlimen tidak hadir.

Subseksyen 4(5) Sosma mesti disemak setiap lima tahun dan akan berakhir pada Julai melainkan kedua-dua Dewan bersetuju untuk melanjutkan klausa itu.

Peruntukan itu mula dikuatkuasakan pada 31 Julai 2012 dan diperbaharui buat kali pertama pada 2017. – 26 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen