Walau berbeza latar belakang politik, Farasu bersatu demi metal


Diyana Ibrahim

WALAU berbeza latar belakang politik, anggota kumpulan Farasu dapat bersatu atas minat mendalam ke atas muzik metal.

Beberapa ahli kumpulan Farasu, kecuali vokalisnya, pernah terbabit dalam politik dan memegang jawatan baik dalam parti pemerintah mahupun pembangkang.

Pemain dramnya, Mustafa Kamal Abdul Rahman sehingga kini masih aktif dalam politik dan merupakan Naib Ketua PKR cabang Rasah.

Pemain gitar Farasu, Nahax Saud merupakan bekas ahli jawatankuasa cawangan Umno Bukit Bintang manakala gitaris kedua, Muhamad Faisal Che Leh pernah menjadi naib presiden kelab Umno luar negeri New Zealand.

Hanya vokalisnya, Mohd Shah Mohd Zaini yang mengaku tidak begitu terdedah dan tidak melibatkan diri dalam hal politik pada peringkat awal.

“Saya tak begitu terlibat sangat dengan hal politik kerana arwah ayah saya seorang polis.

“Jadi memang keluarga dan ayah pun tidak mahulah kita terlibat dalam politik,” katanya yang menjadi vokalis Farasu sejak 2012.

Bagaimanapun, beliau perlu mengikut dengan rapat isu politik untuk menyampaikan lagu-lagu Farasu yang kebanyakannya mengkritik hal-hal terbabit.

“Sebab sebagai vokalis saya tidak mahu sekadar menyanyi, kena memahami juga,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight baru-baru ini.

Nahax menjelaskan, agen penyatuan di kalangan mereka adalah kefahaman untuk menentang ketidakadilan.

“Kita berjumpa sebab muzik kebetulan pemikiran sama, kita ada satu kefahaman sama iaitu menentang, mengkritik sistem tidak adil.”

“Kami tidak ada langsung pegang mana-mana ideologi, yang penting buat Farasu muzik kami ialah muzik nusantara dan kandungan lirik lagu akan ke arah itu.”

Antara isu ditonjolkan Farasu dalam karyanya adalah persaingan merebut jawatan dalam Umno yang digambarkan sebagai politik kotor, kata Mustafa,

Kritikan ke atas isu tersebut diabadikan dalam lagu Keris Songsang yang dimuatkan dalam album Menongkah Arus.

“Ia sebenarnya kritikan terhadap Umno. Sebab itu kita ambil keris sebagai metafora.

“Dalam budaya Melayu kalau keris (terhunus) ke atas bermaksud kita ini bersiap sedia.

“Tapi kalau keris tak bersarung, (terhunus ke) bawah ia seperti menikam diri sendiri, sebab itu dalam lirik lagu itu pun kita banyak sebut tentang politik main belakang, tikam kawan, itu semua sindiran politik,” katanya.

Dirundung kontroversi

Mustafa pernah ditahan polis kerana disyaki menganjurkan sebuah persembahan muzik metal yang membabitkan ritual memesongkan akidah.

Penangkapan semasa persembahan 12 tahun lalu itu menjadi tajuk muka hadapan di setiap akhbar.

Ekoran serbuan itu, beliau terpaksa tidur di lokap selama tiga hari dan menerima pelbagai tekanan dilakukan pihak berkuasa.

Semua tindakan itu dilakukan pihak berkuasa hanya kerana persepsi negatif terhadap muzik metal, kata Mustafa.

Farasu pernah ditahan polis kerana disyaki menganjurkan persembahan muzik metal yang membabitkan ritual memesongkan akidah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 Februari, 2018.

“Ia merupakan fitnah yang amat dasyat sekali,” kata Mustafa yang juga dikenali sebagai Faidaiyyin Al Farasu.

“Kerana itu saya dapati kita sebagai anak seni susah nak berkarya, kita rasa tekanan kerajaan itu (tinggi ke atas anak seni) yang menyebabkan kita rasa tak boleh sokong kerajaan.”

Menurut Farasu, dakyah palsu yang melabelkan penggiat muzim metal sebagai ekstrem itu pula dicetuskan oleh media seperti majalah Mastika, terbitan syarikat dikawal oleh Umno.

Pengalaman itu menghasilkan lagu berjudul Gempak Mastika dalam album demo pertama Farasu, Midnight Evil Spirit pada tahun yang sama serbuan tersebut berlaku.

“Memang semasa saya ditahan polis saya berjanji akan membuat lagu pasal insiden ini,” kata penulis lirik itu.

“Lagu itu juga mengkritik majalah Mastika secara terang kerana mencetuskan dakyah palsu isu black metal.

“Dakyah itu telah merosakkan industri muzik metal dan melabelkan penggiat muzik metal sebagai ekstrem.

Rakaman mereka termasuk demo Midnight Evil serta album The Blackmoon Eclipse, Menongkah Arus dan Against Tyranny banyak menyelitikan lagu sindiran berkisarkan politik semasa dan budaya.

Kata Mustafa album pertama mereka The Blackmoon Eclipse adalah cetusan daripada pengalaman-pengalaman yang terjadi sepanjang 2005 hingga 2008.

“2005 meletusnya isu black metal kemudian disusuli gelombang kedua dan 2008 pula perihal tentang tsunami politik tanahair.”

Kisah Sulatus Salatin

Nahax pula menjelaskan, nama kumpulan itu diambil dari perkataan Arab yang bermaksud “kuda”.

Katanya, ia dinamakan sempena nama kuda yang digunakan Raja Suran untuk mengembara dunia bawah laut seperti mana diceritakan dalam naskah Sejarah Kesultanan Melayu, Sulalatus Salatin.

“Secara kebetulannya album terbaru Farasu diberi nama Sulalatus Salatin,” katanya.

“Kisah Raja Suran kita anggap berkait juga dengan perjalanan naik turun kumpulan Farasu dalam kerjaya seni mereka

Kata Nahax, beliau percaya Farasu merupakan satu-satunya band di tanah air yang membawa aliran muzik metal ketimuran dalam subgenre nusantara.

“Ia merupakan satu transisi muzik dalam kumpulan Farasu.

“Kita mencipta kelainan dengan membawa elemen budaya yang lenggoknya lebih Melayu dan ini digelar sebagai metal nusantara,” kata Nahax yang juga merupakan ketua kumpukan Farasu.

Selepas 16 tahun bertapak dalam arena muzik metal tanah air, Farasu turut mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Kata Nahax, mereka telah diundang mengadakan persembahan sebanyak 18 kali di Indonesia, selain di China dan Taiwan.

“Pengalaman membuat persembahan di luar negara turut membuka peluang kepada kami untuk memvariasikan material muzik Farasu.”

Farasu bakal melancarkan album terbaru mereka pada 1 Julai ini bertempat di The Bee, Publika, Kuala Lumpur. – 11 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen