RUU pinda Akta Kerja gagal lindungi pekerja, kata ahli Parlimen


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula Akta Kerja 1955 (Akta 265) kerana ia gagal meluaskan skop untuk meliputi semua pekerja tanap mengira gaji dan jenis pekerjaan, selain gagal hapuskan potongan bulanan RM2,000. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2022.

PUTRAJAYA wajib menyemak semula Akta Kerja 1955 (Akta 265) kerana ia tidak mencapai matlamat, kata Charles Santiago hari ini.

Ahli Parlimen Klang berkata rang undang-undang (RUU) tersebut gagal meluaskan skop akta bagi meliputi semua pekerja tanpa mengira gaji dan pekerjaan selain gagal hapuskan potongan gaji bulanan RM2,000.

“Ini bermakna pekerja yang mendapat gaji melebihi RM2,000 tidak akan dilindungi oleh Akta Pekerjaan yang dipinda.

“Apabila draf bagi cadangan pindaan itu diedarkan pada 2018, ambang gaji akan dibuang bagi meluaskan skop akta secara berkesan untuk meliputi semua pekerja tanpa mengira tahap gaji dan jenis pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Apa yang memburukkan keadaan ialah hakikat kita boleh menjangkakan semakin ramai penerima gaji akan dikecualikan daripada perlindungan Akta Kerja apabila pendapatan mereka meningkat dan melebihi ambang RM2,000 dari semasa ke semasa.”

Data Jabatan Perangkaan Malaysia dalam Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2020 menunjukkan pendapatan pertengahan seseorang yang bekerja pada 2020 ialah RM2,062.

Ini bermakna daripada 9.4 juta penerima gaji di Malaysia, hanya kira-kira 4.7 juta yang dilindungi oleh pindaan yang dicadangkan.

Santiago berkata peruntukan untuk menetapkan gangguan seksual dan perlindungan bersalin juga dikeluarkan daripada RUU tersebut.

Peruntukan yang memberi kuasa kepada ketua pengarah untuk menyiasat dan membuat keputusan mengenai pertikaian berkaitan gaji bagi pekerja yang berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan juga dicadangkan dikeluarkan dari RUU itu.

“Adakah ini bermakna gangguan seksual dan perlindungan bersalin, yang pada masa ini terpakai kepada setiap pekerja dan pekerja wanita tanpa mengira tahap gaji kini hanya terpakai kepada mereka yang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah?

“Adakah hak pekerja untuk meminta siasatan dan keputusan ketua pengarah dalam pertikaian berkaitan gaji bagi pekerja yang berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan juga akan hilang?

“Jelas sekali, Kementerian Sumber Manusia tidak fikirkan isu ini dengan teliti.”

Alasan untuk diskriminasi tidak seperti cadangan awal, termasuk bahasa komprehensif dan kenal pasti punca khusus seperti jantina, agama, bangsa, ketidakupayaan, status perkahwinan, kehamilan, bahasa dan umur, juga telah dikeluarkan, kata Santiago.

“Dengan kelemahan ini, kerajaan perlu meneliti semula pindaan atau ia akan mempersendakan objektif awal RUU itu iaitu untuk menyelaraskan Akta Kerja dengan piawaian buruh antarabangsa.” – 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen