1,207 orang awam terbunuh dalam serangan di Mariupol


Gambar satelit memaparkan keadaan bandar Mariupol di Ukraine selepas sembilan hari diserang oleh tentera Rusia.– Gambar EPA, 10 Mac, 2022.

SERAMAI 1,207 orang awam maut selepas sembilan hari serangan oleh tentera Rusia di bandar pelabuhan Mariupol di Ukraine, kata pihak berkuasa tempatannya pada Rabu.

Sembilan hari pertama pengepungan Rusia menyaksikan “1,207 penduduk Mariupol yang aman mati”, kata pihak berkuasa bandar tenggara di Laut Azov menerusi Telegram.

Ketika diminta untuk mengesahkan angka kematian, perkhidmatan akhbar presiden berkata: “Kami tidak mempunyai angka yang tepat. Tetapi pada peringkat awal, itu benar.”

Awal hari Rabu, serangan udara Rusia menyebabkan kerosakan serius hospital kanak-kanak di bandar yang mempunyai lebih 400,000 orang penduduk serta mencederakan 17 kakitangannya.

Serangan yang dikecam oleh Presiden Volodymyr Zelensky sebagai “kejam” itu turut digambarkan sebagai “biadab” oleh White House.

Pihak berkuasa bandar berkata Mariupol berdepan “sembilan hari serangan berterusan terhadap penduduk awam” yang menyebabkan setengah juta penduduk terputus bekalan elektrik, air dan komunikasi. 

Beberapa usaha pemindahan telah gagal dan wakil kerajaan Ukraine Lyudmyla Denisova pada Rabu berkata bandar itu kini menghadapi krisis kemanusiaan.

Dalam pada itu katanya, laluan pemindahan yang dirancang ke Zaporizhzhia di barat laut belum dimusnahkan.

Datuk Bandar Vadym Boichenko menyiarkan video yang mana beliau berkata: “Hati saya hari ini penuh dengan kemarahan.”

“Hari ini Rusia diketuai oleh Presiden (Vladimir) Putin melakukan serangan udara ke atas bandar yang aman, menembak ke arah hospital kanak-kanak,” katanya.

“Mereka mahu meragut nyawa anak-anak kami, wanita kami, doktor kami.”

Beliau meminta rakan kongsi antarabangsa Ukraine membantu dan zon larangan terbang diwujudkan di atas Ukraine.

“Kami akan bertahan hingga akhir,” ikrarnya. – AFP, 10 Mac, 2022.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen