PENDAKWA RAYA tentera Amerika Syarikat (AS) mengemukakan pertuduhan rasmi terhadap seorang pengganas Indonesia dan dua yang lain berhubung pengeboman Bali 2002 dan serangan di Jakarta pada 2003, kata Pentagon pada Khamis.
Pertuduhan dikemukakan hampir 18 tahun selepas ketiga-tiga mereka ditangkap di Thailand dan menghabiskan lebih 14 tahun di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba.
Tertuduh pertama, rakyat Indonesia, Riduan Isamuddin, yang lebih dikenali dengan nama Hambali, pemimpin kumpulan Jemaah Islamiyah dan dipercayai sebagai wakil tertinggi Al-Qaeda di wilayah itu.
Kumpulan itu, dengan sokongan daripada Al-Qaeda, melakukan pengeboman kelab malam di Bali pada 12 Oktober 2002 yang membunuh 202 orang, dan serangan 5 Ogos 2003 ke atas hotel JW Marriott di Jakarta yang menyebabkan 12 maut dan puluhan lain cedera.
Dua individu lain yang didakwa, rakyat Malaysia Mohammed Nazir Bin Lep dan Mohammed Farik Bin Amin, pembantu Hambali dalam Jemaah Islamiyah yang menjalani latihan oleh Al-Qaeda, menurut dokumen kes Guantanamo.
“Tuduhan tersebut termasuk konspirasi, pembunuhan, cubaan bunuh, dengan sengaja menyebabkan kecederaan serius, keganasan, menyerang orang awam, harta awam, pemusnahan harta benda, semuanya melanggar undang-undang perang,” kata Pentagon dalam kenyataan.
Tidak jelas mengapa selepas bertahun-tahun ditangguhkan ia diumumkan pada Khamis.
Pada 2016, permohonan bebas Hambali dari Guantanamo ditolak kerana kata pendakwa, beliau masih mewakili “ancaman besar terhadap keamanan AS.”
Tuduhan tersebut diumumkan pada hari pertama pentadbiran Presiden Joe Biden.
Ketika Biden menjadi naib presiden Barack Obama, mereka gagal menutup penjara yang dikendalikan tentera laut di Guantanamo dan masih ada tahanan yang dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah sivil AS.
Pengganti Obama, Donald Trump tidak menunjukkan minat terhadap Guantanamo dan tahanannya, yang termasuk pemimpin tertinggi Al-Qaeda dan perancang serangan 9/11, Khalid Sheikh Mohammed.
Tidak banyak kemajuan diperoleh mengenai status 40 tahanan yang masih berada di sana.
Pada kemuncaknya, kira-kira 780 tahanan “perang melawan keganasan” ditahan di situ. Sebilangan besar sudah dibebaskan kembali ke negara asal mereka. – AFP, 22 Januari, 2021.
Komen