Malaysia kutuk serangan di lapangan terbang Kabul


Rakyat Afghan sukar untuk meninggalkan negara mereka dan terkandas di lapangan terbang antarabangsa Hamid Karzai. – Gambar EPA, 27 Ogos, 2021.

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas pada Khamis ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul yang menyebabkan kehilangan nyawa dan cedera.

Kenyataan Kementerian Luar hari ini memaklumkan serangan itu hanya memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang memang sudah teruk di Afghanistan.

“Malaysia menggesa semua pihak supaya mengutamakan keselamatan dan perlindungan orang awam termasuk mereka yang ingin meninggalkan negara itu.

“Malaysia memuji peranan yang dimainkan oleh komuniti dan organisasi antarabangsa dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan di Afghanistan termasuk golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak dan minoriti,” menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, Malaysia akan terus menyokong usaha ke arah mencari jalan damai serta penyelesaian yang berkekalan demi kepentingan Afghanistan dan rakyatnya.

“Kerajaan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi takziah dan simpati kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka yang cedera supaya cepat sembuh,” katanya. – Bernama, 27 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen