Malaysia tak iktiraf mata wang kripto, kata timbalan menteri


Noel Achariam

Mata wang kripto atau aset digital terdedah kepada turun naik harga kerana pelaburan spekulatif.– Gambar EPA, 3 Mac, 2022.

MATA wang kripto, atau aset digital, tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah di Malaysia, kata Yamani Hafez Musa hari ini.

Timbalan menteri kewangan II berkata bahawa aset digital seperti bitcoin atau ethereum tidak boleh digunakan sebagai cara pembayaran kerana ia tidak menunjukkan ciri mata wang universal.

“Secara amnya, aset digital bukanlah medium pertukaran yang baik.

“Ini kerana aset digital itu terdedah kepada turun naik harga kerana pelaburan spekulatif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Yamani (Sipitang-PN) menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh-PH) yang bertanya tentang peranan kerajaan dalam memantau dan menyelia mata wang dan mata wang kripto.

Beliau juga bertanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan jelas untuk mewujudkan mata wang digital, dengan mengambil kira penglibatan Bank Negara dalam Projek Dunbar untuk pemindahan wang antarabangsa menggunakan teknologi blockchain.

Yamani juga berkata bahawa aset digital bukanlah alat dagangan yang selamat.

“Sebagai contoh pada April 2021, harga bitcoin naik kepada AS$ 65,000 (RM272,382), seminggu selepas ia susut sebanyak 50%.

“Terdapat juga kecurian. Dari 2011 hingga 2021 aset digital bernilai AS$12 bilion (RM50 bilion) telah dicuri oleh serangan siber dan penggodam.”– 3 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen