DIGITAL Nasional Bhd (DNB) bukan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa selepas memberitahu Parlimen kos keseluruhan untuk liputan 5G berjumlah RM12.5 bilion, bukannya RM11 bilion.
“DNB perlukan RM1.5 bilion lagi disebabkan infrastruktur gentian telekomunikasi dalam negara yang berada pada tahap lebih rendah.
“Oleh itu, kos keseluruhan bagi projek ini dianggarkan berjumlah RM12.5 bilion,” kata Yamani kepada Dewan Rakyat hari ini.
Dalam laporan terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) berkata projek itu dijangka menelan belanja RM11 bilion.
Bagaimanapun Yamani berkata DNB tidak sama seperti 1MDB selepas pembangkang mengadu tentang kurangnya ketelusan kosnya.
“Kementerian mahu menegaskan kedua-dua ini entiti berbeza. Proses tender DNB distrukturkan oleh lima badan profesional dan mengikut piawaian global,” kata ahli Parlimen Sipitang itu.
“Dalam 1MDB, Goldman Sachs menaikkan bon dan ia bukan sistem tender terbuka. Ada beza besar. Ini (DNB) ada empat panel yang terdiri daripada 50 pakar tempatan dan antarabangsa dari 10 negara yang dipilih berdasarkan pengalaman dalam pelaksanaan sistem 5G.”
Beliau berkata proses tender bermula dengan 14 syarikat pada peringkat penilaian awal sebelum lapan syarikat disenarai pendek.
“Daripada lapan yang dijemput mengemukakan tender, empat yang hantar tender,” kata Yamani.
Yamani berkata demikian menjawab Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai gesaan supaya lebih telus tentang DNB.
Anwar berkata projek DNB seumpama satu lagi skandal 1MDB kerana ia diselubungi rahsia.
“Ada yang kata RM15 bilion, ada yang lain kata RM18-RM20 bilion. Apa yang kita mahu ialah jawapan yang tepat,” kata pengerusi Pakatan itu.
“Saya tidak percaya cuma RM12 bilion kerana sudah pasti ada infrastruktur tambahan yang diperlukan. Kerajaan cuma merendahkan nilai projek itu supaya tidak mengejutkan semua orang,” kata ketua Pembangkang itu menambah meminta Parlimen dibenarkan membahaskan projek DNB.
Anwar berkata penjelasan DNB tidak seharusnya dibuat dalam bentuk iklan media kerana ia melibatkan wang pembayar cukai.
Beliau berkata Parlimen harus diberitahu siapa lagi yang mendapat kontrak untuk pelancaran 5G di bawah DNB.
“Kroni atau ahli keluarga siapa yang dapat manfaat daripada projek ini? Kita perlu tahu,” kata Anwar.
“Jika kita tidak belajar daripada skandal 1MDB, kita tidak akan pernah belajar.”
Skandal 1MDB bermula sebagai dana kekayaan negara yang dipanggil Terengganu Investment Authority (TIA). Bertopengkan dana kekayaan negara, ia membeli aset yang tidak wujud yang dibiayai oleh bon yang disokong oleh kerajaan.
Skandal itu, yang bermula sejak 2009, kemudian menunjukkan bagaimana pelbagai agensi kerajaan, dan jurubank pelaburan terkenal dan firma perakaunan berusaha untuk menutup penipuan sebelum ia didedahkan oleh ahli politik pembangkang, wartawan dan pemberi maklumat. – 15 Disember, 2021.
Komen