DR Mahathir Mohamad hari ini menafikan terlibat dalam penggunaan atau mempromosikan mata wang kripto.
Bekas perdana menteri berkata beliau tidak menggunakan mata wang kripto mahupun menggalakkan orang ramai menggunakannya.
“Saya pegang kepada fiat money atau mata wang fiat, atau wang fizikal.
“Jika ada promosi dalam iklan atau laman web yang kononnya saya galak kegunaan mata wang kripto, ianya palsu,” katanya menerusi posting terbaharu di blognya chedet.cc.
Ahli Parlimen Langkawi berkata pejabatnya sebelum ini pernah membuat laporan berhubung iklan yang mendakwa beliau melabur dan menggalakkan penggunaan mata wang kripto.
“Iklan-iklan itu palsu. Saya difahamkan ada yang terpedaya. Sesetengah iklan itu seolah-olah disiar media tempatan.
“Saya difahamkan media tempatan juga sudah dimaklum dan mereka sudah buat laporan kepada pihak berkuasa.”
Beliau berkata orang awam perlu maklum bahawa perkara seperti ini tidak mudah ditangani kerana pelbagai laman web dan iklan palsu dapat dibangun dengan cepat.
“Tutup satu, timbul sepuluh (laman web).
“Penipuan dan pemalsuan mengguna nama saya berlaku sebelum zaman media sosial dan internet lagi.
“Dari dulu juga ada yang terpedaya dengan promosi palsu peluang niaga yang kononnya libatkan diri saya.”
Dr Mahathir satu laporan sudah dibuat dan tindakan akan diambil dan sekiranya sesiapa yang ragu boleh periksa dengan pejabatnya.
“Saya tidak pernah dan tak akan terlibat dengan apa-apa skim cepat kaya.
“Selain itu ada yang percaya laporan palsu yang saya ada kekayaan berbilion.”
Beliau berkata semasa dalam kerajaan beliau sudah mengisytiharkan harta.
“Kalau ada yang masih nak percaya saya ada kekayaan berbilion, terpulanglah.
“Yang nyata manusia bermacam ragam. Ada yang cerdik, ada yang kurang. Ada juga yang pandai tak terikut,” katanya. – 1 November, 2021.
Komen