Cukai keuntungan modal bukan langkah terbaik tingkat pendapatan, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kaedah tersebut tidak boleh digunakan untuk menyelamatkan kerajaan dan menambahkan hasil negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober 2021.

DAP menentang sebarang cadangan pelaksanaan cukai keuntungan modal, termasuk keuntungan saham, kata bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata, kaedah tersebut tidak boleh digunakan untuk menyelamatkan kerajaan dan menambahkan hasil negara.

Katanya, cukai keuntungan modal juga akan meliputi cukai warisan dan telah diperdebatkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan tetapi ianya telah ditolak beliau ketika memegang jawatan menteri kewangan.

“Saya menolaknya kerana berpendpaat ia akan menjadikan Malaysia kurang berdaya saing, sekali gus merekodkan kadar cukai korporat tertinggi antara 60 negara ekonomi terbesar di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mengulas cadangan Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa di Dewan Rakyat pada 22 September lalu bagi mempetimbangkan cukai keuntungan modal dan kadar cukai lebih tinggi secara one-off terhadap syarikat yang menunjukkan prestasi baik sewaktu pandemik.

Yamani memberitahu Dewan Rakyat bahawa ini adalah antara langkah yang dikaji Putrajaya untuk meningkatkan pendapatan.

Lim berkata, kerajaan harus menyedari bahawa negara berdepan krisis nasional yang teruk dengan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

“Pada saat genting ini, kerajaan harus mengutamakan penyelamatan rakyat dengan bantuan kewangan dan bukan sebaliknya mahu rakyat menyelamatkan pendapatan kerajaan yang berkurang.

“Menawarkan bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa dan penghidupan rakyat adalah kewajiban kerajaan, bukan memiskinkan rakyat dengan menekan mereka dengan cukai tambahan.”

Sebaliknya, Putrajaya harus mengurangkan kos dan menghentikan projek yang tidak perlu dan menggunakan dana bagi memberi tumpuan kepada pemulihan kehidupan dan mata pencarian rakyat. – 2 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen