Kes Loh: Manusiawikah sistem perundangan Islam kita?


Mohd Syazreen Abdullah

AGAMA bukan hanya tertakluk pada ketundukan, tetapi ada landasan yang membangun makna ketauhidan tersebut. 

Sudah tentu landasan itu berasaskan kewahyuan inklusif yang menitikberatkan soal keperluan asasi manusia – adh-dharuriyyah al insaniyah al-khamsah

Tafsiran agama seharusnya begitu. Sekurang-kurangnya pemaknaan wahyu harus diberi makna yang berbagai. Menurut sarjana Islam Muqatil bin Sulaiman al-Balkhi (w.150 H), seseorang tidak dianggap fakih dalam beragama selagi dia mampu melihat tafsiran al-Quran yang berbagai wajah dan makna.

Kekaburan memahami teks wahyu yang berbagai wajah menjadikan kita terus lalai dibuai hanyut kejumudan dalam berinteraksi pada teks agama. 

Pembakuan makna ini bukan sekecil perkara boleh ditutupi mata, tetapi kesan mudarat itu sehingga menutupi pemikiran dan hati nurani kemanusiaan sejagat. 

Ketertutupan ini akhirnya mengundang kemudaratan lain dan membuka ruang-ruang kesempatan pihak penguasa – autoritarian agama.

Akhirnya pemahaman wahyu mengalami proses pembakuan makna, terus dikunci dan ditutupi pintu pentafsiran sehingga agama sulit menjadi titik kedamaian dalam soal konflik mengurus kehidupan silang beragama dan sosial budaya. Wahyu hilang semangat kemanusiaan sejagat.

Makna agama

Justeru, makna agama bukan terletak pada penzahiran kesetiaan kepada Tuhan khususnya dalam soal ritual kesalehan peribadi tetapi harus menampakkan keesaan-Nya dengan melakukan kesalehan dalam ritual sosial. 

Sudah tentu urusan sosial tertumpu pada soal keadilan, kemanusiaan dan kebajikan sejagat. 

Dalam konteks ini, kita membicarakan perihal pengamalan agama khususnya perundangan Islam, yang harus bersifat inovatif dan berkemajuan dalam mengurus soal konflik sosial sejagat supaya tidak tersasar dari soal keperluan asasi manusia –  adh-dharuriyyah al insaniyah al-khamsah.

Bukan bersifat nostalgik dan mabuk kuasa!

Sebagai contoh hari ini banyak kejadian yang tidak manusiawi seringkali melibatkan kes perundangan Islam dalam soal urusan non-Muslim. Isu hak kemanusiaan dan ketidakadilan hanya dilihat adil di sisi kita dan bukan orang lain. 

Sikap ini bertentangan dengan ajaran Islam bahkan penyakit ini sudah menjadi bahagian keimanan bahawa kebenaran di pihak agama kita, sekali gus menafikan hak kebenaran orang bukan Islam.

Oleh sebab itu, agamawan jangan terikut-ikut rentak kejumudan ini. Jangan sesekali mematikan fungsi akal dalam mengurus konflik agama. 
Ijtihad sentiasa berlaku demi kemaslahatan sosial tanpa mengira agama dan bangsa. Sebaliknya pada hari ini, ahli agama konon fakih sekadar mengiyakan dan sama-sama bersekongkol dengan sistem yang tidak manusiawi lagi zalim.

Para agamawan seringkali terperangkap dengan kejumudan perundangan Islam yang gagal mengatur kehidupan dan kebebasan ruang beragama sekali gus gagal memahami tafsiran sejagat teks agama. 

Mereka cenderung gagal dalam memahami ketidakadilan, kezaliman, penindasan, dan sehingga ia mematikan rasa kemanusiaan dalam diri. Khususnya mengenai keadilan dan kebebasan dalam soal perundangan Islam terhadap non-Muslim.

Kes Loh Siew Hong dan tiga anaknya

Misalnya, kisah yang terjadi kepada Loh Siew Hong, seorang ibu tunggal yang baru mengetahui tiga anaknya diislamkan baru-baru ini bukan pertama kali pernah terjadi dalam negara kita Malaysia. 

Kisah Loh adalah kesinambungan daripada kisah-kisah tragis dan kes penganiayaan dan ketidakadilan terhadap mangsa-mangsa yang ditindas atas nama perundangan Islam dan kekuasaan sebelum ini. 

Malangnya kes-kes seperti Loh ini tidak dilayan agamawan. Mereka lebih sibuk isu-isu yang tidak mendatangkan kemaslahatan umat. 

Oleh sebab itu, masalah ini seringkali diperjuangkan oleh gerakan kelompok kebebasan dan kemanusiaan. Bukan agamawan. Lebih jijik ada agamawan membenarkan institusi yang menindas manusia atas nama agama.

Isunya bukan sebab ayahnya mengislamkan anaknya, maka kita pun meraikan kegembiraan syukur atas keislaman budak itu. Sedangkan hati ibu yang melahirkan anak-anak itu remuk berkecai. 

Kanak-kanak itu masih kecil. Jangan kita memandai-mandai tentukan agama mereka tanpa kerelaan kedua orang tua mereka. 

Walau apa sekalipun dakwaan kita mengatakan anak-anak itu mahukan Islam, sesekali tidak membenarkan untuk melakukan sesuka hati walau atas nama agama dan kekuasaan yang kita miliki.

Ironinya anak orang bukan Islam yang mahukan Islam walau masih kecil, tindakan kita membenarkan keislamannya sangat laju tanpa memikirkan perasaan kedua orang tuanya. 

Apakah Islamnya kedua anak ini tanpa memikirkan hak dan perasaan ibunya juga?

Bayangkan kalau perbuatan selekeh ini diperlakukan kepada anak-anak orang Islam masuk dalam agama-agama lain? 

Saya jamin kitalah orang paling awal membantah dan menentang hal ini. Kerana kita rasakan kita ada kuasa, agama kita memonopoli kuasa, maka kita boleh melakukan suka-suka hati. 

Apakah sisi kemanusiaan kasih ibu terhadap anak ini juga sudah lupus dalam sanubari para agamawan hari ini sehingga boleh membenarkan perkara ini terjadi? Hormati ibu mereka!

Malangnya, kelompok minoriti di negara ini seringkali dibuli habis-habisan sehingga tidak berdaya dan mengekang suara konservatisme agama.

Ini adalah isu keadilan yang mesti dibereskan. Ini isu besar agamawan harus sibukkan. Keadilan untuk si ibu itu untuk mendapat haknya dan perbincangan keputusan haruslah dilakukan dengan penuh adil.

Justeru, apa yang terjadi kepada Ibu tunggal ini adalah berpunca dari kelemahan sistem perundangan Islam yang tidak punya semangat inovatif dalam membangunkan keadilan terhadap orang bukan Islam. 

Sebaliknya keislaman eksklusif menebal dalam diri itu memusnahkan kemanusiaan yang sepatutnya diperjuangkan dalam perlembagaan. 

Hal ini dikuatkan oleh kajian Tamir Moustafa dalam bukunya Constituting Religion.

Tamir Moustafa menyebut bahawa adanya garis pertelingkahan di tengah-tengah sistem kehakiman Malaysia khususnya melibatkan perkara 121 (1A) iaitu peruntukan perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah Syariah.

Kemunduran penafsiran agama yang dimainkan oleh mahkamah syariah terhadap masalah-masalah sebegini mengundang malang kepada nasib orang yang ditindas atas kuasa agama. 

Khususnya berkait dengan perundangan melibatkan perkara 121 (1A). Bahawa akhirnya kekaburan dan konflik serta ironi ini menjadikan perkara 121 (1A) sebagai produk kepada kekuasaan atas nama agama. 

Ia sama sekali menidakkan hak orang bukan Islam walaupun berkali-kali mereka cuba menafikan sikap mereka yang menindas itu. Inilah beban yang ditempuh mangsa yang mahukan hak dan keadilan mereka. Tetapi perjuangan mereka dimatikan atas nama kuasa dan agama – autoritarian agama. 

Langkah Perkara 121 (1A) itu akhirnya sebagai agenda untuk menaikkan ideologi dan kekuasaan sekali gus lesen kepada pemegang kunci kebenaran!

Kesannya, dari kejumudan memahami teks wahyu agama, agama yang asalnya menitikberatkan kebebasan dan keadilan akhirnya menjadi urusan yang dikawal negara dan penguasa.

Negara dan penguasa yang menentukan orang harus menganut agama apa.

Dan kita semua reda lalu beralah kepada keputusan mahkamah syariah yang mundur walau terpaksa mencabul keperluan hak asasi dan kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Dan hari-hari depan, kemanusiaan dan keadilan terus dicabul. Ironi, kita semua menyahut kemenangan Islam! 

Kita tidak mahu hidup di negara yang sisi luarnya tampak gahnya Islam, di sebalik sisi dalamnya sangat kotor dan jijik kerana membunuh jiwa dan kemanusiaan insani. – 17 Februari, 2022.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen