Kit Siang gesa PM jelaskan isu undang-undang syariah baharu


Lim Kit Siang mencadangkan perdana menteri mengadakan pertemuan dengan MCCBCHST untuk menjelaskan mengenai isu undang-undang syariah baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu menjelaskan jika ada rancangan menyekat penyebaran agama bukan Islam dengan memperkenalkan undang-undang syariah baharu, kata Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata Ismail Sabri perlu bertemu Majlis Perundingan Malaysia mengenai agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taosim (MCCBCHST) untuk menjelaskan sebarang rancangan membuat undang-undang baharu yang menyasarkan orang bukan Islam.

“Pertemuan Ismail Sabri dengan MCCBCHST akan menjadi kesempatan yang baik bagi perdana menteri baharu untuk memperbaharui dan menegaskan kembali sokongan terhadap objektif dan prinsip Rukun Negara.

“Ini juga untuk menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan dalam sebuah negara berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, MCCBCHST menggesa Ismail Sabri cadangan undang-undang syariah baharu.

Awal minggu ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ugama) Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata kerajaan sedang membuat draf empat undang-undang syariah baharu, termasuk satu untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam.

Marzuk berkata tiga draf lain adalah rang undang-undang wakaf, mufti dan Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada cadangan seperti itu.

Beliau berkata jika cadangan didraf, ia perlu dibawa ke Kabinet dan mendapatkan persetujuan semua negeri.

Lim berkata penjelasan itu penting kerana terdapat keraguan mengenai komitmen kerajaan baharu terhadap objektif Rukun Negara untuk memastikan perpaduan dan keharmonian kukuh di kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, kerajaan mesti mencapai dan memupuk perpaduan lebih baik di kalangan rakyat Malaysia.

“Pelihara cara hidup demokratik. Wujudkan masyarakat yang adil dengan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

“Pastikan pendekatan liberal terhadap tradisi budaya yang kaya dan membina masyarakat progresif yang akan memanfaatkan sains dan teknologi moden.”

Lim menambah walaupun rakyat Malaysia baharu sahaja menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 dan akan menyambut Hari Malaysia ke-58 seminggu lagi, terdapat tanda yang prinsip Rukun Negara semakin tidak dipatuhi.

Katanya, prinsip Rukun Negara tidak mendapat sokongan kerajaan seperti pada tahun 70an dan 80an. – 9 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen