Ahli politik tidak boleh salah guna agama, kata bekas pengarah Ikim 


Raevathi Supramaniam

Bekas ketua pengarah Ikim Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas membidas ahli politik yang menggunakan agama sebagai landasan untuk memajukan kerjaya politik mereka.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 20 November, 2021.

AHLI politik tidak seharusnya bercakap mengenai agama, khususnya teologi, kerana mereka tidak layak untuk membincangkan perkara sedemikian, kata bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam (Ikim) Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Menurutnya arena politik tidak seharusnya menjadi tempat perbincangan teologi kerana tempat yang sepatutnya adalah di institusi pengajian tinggi.

Ahli politik yang kerap bercakap mengenai isu agama hanya berbuat demikian untuk kepentingan politik mereka sendiri, tambahnya.

“Arena politik bukanlah tempat yang sesuai untuk membincangkan perkara ini. Universiti dan institusi pengajian tinggi adalah tempat yang betul,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Di situlah awak belajar teologi. Nak berhujah tentang itu, pergi berhujah di universiti, ia bukan sebahagian daripada arena politik.

“Mereka (ahli politik) harus sedar bahawa mereka tidak layak untuk membincangkan perkara ini. Eksekutif harus mentadbir negara, bukan bercakap tentang teologi.”

Syed Ali berkata ahli politik menggunakan agama sebagai pengaruh untuk memajukan kerjaya mereka adalah sebab mengapa bukan hanya Islam, tetapi juga agama lain, telah disalahtafsirkan.

“Agama bukan masalah, penganut mana-mana agama yang menjadi masalah. Mereka telah salah nyatakan perkara. Ia bukan sahaja masalah Melayu atau Islam. Semua harus dipersalahkan.

“Mereka merosakkan pengetahuan ini untuk kepentingan politik mereka sendiri.”

Parti Islam PAS baru-baru ini mendesak agar syarikat pengeluar wiski Malaysia Timah ditukar nama kerana ia dianggap sebagai nama panggilan untuk Fatimah, anak perempuan Nabi Muhammad.

Syed Ali dalam video tular menyifatkan mereka yang berhujah supaya ia dinamakan semula, sebagai biadap, kerana menyimpulkan ia adalah versi ringkas nama anak perempuan Nabi Muhammad.

PAS juga menggesa agar label yang mengandungi imej Kapten Speedy, yang memakai kopiah Ethiopia dan berjanggut panjang yang menyerupai seorang lelaki Islam, ditukar.

Terbaharu, kerajaan Kedah yang diterajui PAS mengharamkan operasi di kedai nombor ekor (4D) bagi mengekang perjudian di negeri itu.

Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu juga telah membuat keputusan yang sama.

Larangan operasi di kedai judi telah mendapat kritikan daripada ahli gabungan pemerintah dan juga pembangkang.

Kedua-dua MIC dan MCA mengkritik tindakan Kedah sebagai tidak logik manakala Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melabelkan tindakan itu sebagai dasar ekstremis oleh PAS.

“Mengapa seseorang perlu mengambil berat apa yang mereka katakan jika kata-kata mereka bercanggah dengan tindakan mereka?” soal Syed Ali.

“Semua parti politik ini kini telah tunduk kepada ideologi perkauman. Ini bertentangan dengan Islam.”

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia daripada mengulas isu agama masing-masing jika mereka tidak memahaminya.

“Berapa ramai orang Islam yang faham orang bukan Islam dan sebaliknya?

“Jika jawapannya tidak banyak, maka bagaimana orang ramai boleh berfikir bahawa mereka mempunyai hak untuk membincangkan sesuatu yang mereka tidak tahu? Memang tak logik.

“Namun hari ini orang-orang itu bercakap tentang agama yang kebanyakan mereka tidak benar-benar faham.”

Mengulas mengenai moto Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob “Keluarga Malaysia”, Syed Ali berkata ia hanyalah slogan semata-mata.

“Jika kamu benar-benar mahu memiliki Keluarga Malaysia, mari kita lihat dari tindakan kamu.

“Anda hanya perlu turun padang dan bekerja. Anda perlu bekerja untuk manfaat semua orang, bukan hanya segmen tertentu. Tidak kira apa bangsa atau agama mereka,” katanya. – 20 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen