Pharmaniaga pertikai dakwaan Khairy berkenaan keberkesanan dos penggalak Pfizer


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Isnin berkata semua penerima vaksin Sinovac kini dibenarkan memilih jenama yang sama seperti suntikan penggalak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2022.

PHARMANIAGA Bhd mempertikaikan dakwaan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa dos penggalak Pfizer-BioNTech akan meningkatkan tahap perlindungan terhadap varian virus baharu seperti Omicron terutamanya bagi mereka yang sudah divaksin dengan Sinovac.

Menteri itu pada November berkata dos penggalak Pfizer adalah pilihan terbaik.

The Edge Market melaporkan syarikat farmaseutikal itu yang merupakan pengedar tunggal vaksin Sinovac negara menunjukkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale membuktikan dua dos vaksin Sinovac dengan dos penggalak Pfizer “kurang berkesan dan menghasilkan imuniti yang lebih rendah tindak balas terhadap varian Omicron berbanding dengan strain lain”.

Pharmaniaga seterusnya menyatakan penyelidikan yang dilakukan oleh kementerian kesihatan Republik Dominician dan institusi lain menunjukkan dos berganda utama vaksin Sinovac Covid-19 dengan suntikan penggalak Pfizer menghasilkan tindak balas antibodi yang serupa dengan vaksin mRNA dua dos.

Syarikat itu kemudiannya memetik penyelidikan berasingan oleh pengeluar vaksin China, Sinovac Biotech Ltd yang dilaporkan menunjukkan tiga dos vaksin Sinovac menghasilkan antibodi peneutral lebih tinggi dalam 95% penerima berbanding dengan 3.3% dengan dos kedua terhadap varian yang membimbangkan termasuk Omicron.

Berdasarkan penemuan ini, mendapatkan penggalak Sinovac sangat digalakkan untuk mereka yang sudah menyelesaikan vaksinasi utama mereka.

Syarikat itu berkata penerima yang menerima Sinovac akan lebih dilindungi dengan mencipta tindak balas antibodi terutamanya terhadap penyakit yang teruk.

Khairy menerusi Twitternya pada 16 November tahun lepas menyatakan untuk penerima Sinovac, dos penggalak Pfizer adalah pilihan terbaik untuk meningkatkan tahap perlindungan.

Pada Isnin Khairy berkata semua penerima vaksin Sinovac kini dibenarkan memilih jenama yang sama seperti suntikan penggalak mereka.

Beliau berkata ini dibenarkan bagi menangani keraguan terhadap vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

“Saya ingin mengumumkan hari ini terdapat 3.5 juta penerima vaksin yang mendapatkan Sinovac sebagai dos utama mereka yang masih beum mendapat suntikan penggalak mereka.

“Ini adalah jumlah yang besar dan kesemuanya terdedah kepada gelombang Omicron kerana keberkesanan Sinovac tidak sebaik Pfizer.

“Itulah sebabnya kami membuat keputusan untuk membenarkan penerima Sinovac memilih dos panggalak Sinovac,” katanya.

Beliau seterusnya menambah kementerian kesihatan masih menggalakkan mereka mendapatkan Pfizer atau AstraZeneca.

“Ini kerana mana-mana dos penggalak adalah lebih baik daripada tiada dos penggalak sama sekali,” kata Khairy. – 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen