Memelihara khazanah dan nilai sejarah filem lama


Daniyal Kadir

MASALAH terbesar dalam aspek pemeliharaan khazanah dan tradisi sinema Malaysia ialah akses terhadap bahan-bahan tayangan, khususnya filem-filem lama dan klasik. 

Di era teknologi ini, terdapat segelintir pihak memuat naik banyak klip dan juga filem-filem lama pada durasi penuh di laman seperti YouTube.

Namun begitu, usaha seperti ini mempunyai percanggahan dengan undang-undang berkaitan hak cipta. 

Saluran untuk menonton secara ‘halal’ pula amat terhad dan kadangkala hampir tidak ada.

Baru-baru ini, kita diberitakan dengan kehadiran semua laman penstriman yang menyediakan kandungan filem-filem tempatan dari sekitar era 1970an hingga ke dekad 2000. 

Dengan kadar langganan serendah RM10 sebulan atau RM100 untuk setahun, kita dapat menonton filem-filem lama yang sudah tidak dapat diakses kerana kekangan medan tayangan yang terhad.

Walaupun filem-filem yang ditayangkan tidak melalui proses restorasi, namun ia mengubat kerinduan kita kepada filem-filem tanah air pada tahun-tahun berkenaan.

Laman yang menggunakan jenama SIAR ini dilihat sentiasa mengemaskini kandungan hampir setiap bulan dengan menjalinkan kerjasama erat bersama-sama penerbit dan pengedar untuk memastikan peminat filem tempatan mampu mengakses kembali khazanah sinema sendiri secara lebih teratur dari sudut perundangan

Namun begitu, sudah tentu SIAR tidak boleh dijadikan penyebab untuk usaha ini hanya digerakkan oleh pihak seperti ini sahaja, memandangkan akses tayangan untuk filem-filem tempatan sewajarnya menjadi mudah, tanpa perlu melalui proses langganan dan sebagainya.

Usaha ini sebenarnya boleh digerakkan oleh stesen televisyen tempatan yang sudah tentu mempunyai capaian jumlah penonton lebih besar dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja.

Ini bukan mahu menidakkan usaha yang digerakkan oleh SIAR, namun ini boleh disifatkan sebagai jalinan murni untuk membuka peluang penontonan dan rasa penghargaan terhadap filem-filem tempatan.

Jika pada masa dahulu, filem-filem lama dan klasik tempatan dapat ditonton dengan mudah melalui televisyen, namun keadaan berbeza berlaku sekarang. 
Tidak hairan disebabkan kesukaran akses ini, masyarakat kita sudah kurang mengenali tradisi sinema sendiri. 

Malah permasalahan ini bukan sahaja pada masyarakat, tetapi juga kepada pembikin filem, khususnya generasi baharu.

Mungkin nama yang dikenali hanya setakat P. Ramlee atau yang terkenal sahaja. 

Malah tidak keterlaluan kita katakan bahawa filem-filem P. Ramlee sudah keterlaluan didedahkan kepada penonton, walaupun ia masih enak untuk dinikmati.

Kita tidak memberikan peluang sewajarnya untuk masyarakat mendekati dan mengenali pembikin filem lain tanah air yang turut sama-sama bertanggungjawab membentuk tradisi sinema Malaysia. 

Nama-nama seperti Hussain Haniff, M. Amin dan Mat Sentol di era klasik mungkin jarang didengar dan dikenali.

Malah karya-karya mereka juga tidak dinikmati dengan mencukupi. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa filem-filem mereka kadangkala lebih baik dan signifikan dalam era yang sama dengan P. Ramlee.

Disebabkan keadaan seperti ini, kita hanya mengenali P. Ramlee sahaja sebagai pembikin filem klasik Malaysia sedangkan kita mempunyai Dang Anom, Hang Jebat, Chuchu Datok Merah dan Mat Raja Kapur yang mempunyai nilai budaya, pengalaman menonton dan aspek sinematik berkualiti tinggi seperti apa yang kita nikmati saat menonton Antara Dua Darjat, Seniman Bujang Lapok dan Ibu Mertuaku.

Malah selain daripada era klasik, perfileman negara ketika era warna seperti filem-filem dibikin era gelombang baharu seperti Abang, Matinya Seorang Patriot dan Tsu Feh Sofiah oleh Rahim Razali serta Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 oleh Nasir Jani sudah tidak lagi melekat untuk tayangan di televisyen. 

Sedangkan filem-filem ini sangat penting untuk kita mengetahui tradisi dan perkembangan sinema negara.

Hal sama juga dapat dilihat kepada siri Tok Perak yang mempunyai nilai sinematik unggul, tetapi sukar untuk ditonton sekarang. 

Begitu juga keadaannya dengan filem-filem utama arahan U-Wei Saari termasuk Perempuan, Isteri dan Jalang, Kaki Bakar dan Jogho yang sukar untuk dinikmati di televisyen. 

Walaupun Jogho dan Kaki Bakar pernah ditayangkan di Astro, namun di televisyen percuma ia adalah sesuatu yang tidak menjadi kebiasaan.

Keraian seperti ini jarang diberikan perhatian dalam arena perfileman tanah air. Sesebuah filem akan terbungkus kerelevanannya jika ia tidak lagi diperkatakan atau ditayangkan kepada umum. Nasib filem-filem tanah air kebiasaannya begitu.

Selepas habis saat ditayangkan di panggung wayang, ia sudah sukar untuk muncul di mana-mana lagi. 

Malah kita juga tidak mempunyai tradisi untuk merayakan ulang tahun sesebuah filem yang signifikan terhadap pembangunan sinema tanah air.

Festival Filem Malaysia misalnya adalah ruang terbaik untuk meneroka kembali filem-filem lama dan klasik ini. Ia harus dicungkil dan digali, diberikan kefahaman dan perspektif baharu, dibedah dan dibuka.

Inilah cara kita meraikan filem dan memunculkannya sebagai sebuah festival. Sesebuah festival filem bukan semata-mata projek penganugerahan kemenangan, ia adalah saat kita meraikan tradisi dan khazanah perfileman negara.

Selepas ini dicadangkan untuk Festival Filem Malaysia bekerjasama dengan penyiar rasminya seperti RTM untuk menyediakan satu slot khas di sepanjang bulan festival untuk menayangkan filem-filem penting tanah air serta filem-filem yang pernah mencapai kemenangan di festival yang lepas.

Aktiviti tayangan dan apresiasi ini boleh dilaksanakan secara serentak dengan tayangan turut dibuat di panggung wayang berkaitan. Kita bukan sahaja menayangkan filem-filem baharu atau yang bertanding sahaja, tetapi turut mengenangkan keagungan filem-filem terdahulu.

Malah lebih penting untuk dijadikan agenda tahunan untuk setiap tahun penganjuran Festival Filem Malaysia, dicalonkan sebuah filem klasik dan lama untuk direstorasi dan kemudian ditayangkan semasa festival.

Acara tayangan pula diadakan dengan penuh gemilang. Ini akan menjadikan kita sebagai sebuah negara yang benar-benar memahami makna khazanah perfileman.

Terdapat pelbagai nilai signifikan yang perlu diteliti dan dihargai pada sesebuah filem, mungkin Keluarga Si Chomat misalnya dianggap sebagai filem biasa, namun filem ini signifikan sebagai filem pertama yang dihasilkan selepas era studio. Nilai sejarahnya wajar diangkat dan difahami.

Beginilah cara kita menghargai sinema dan memeluk tradisinya.

Bila kali terakhir kita melihat Keluarga Si Chomat dihargai di televisyen atau panggung wayang?

Entah. – 29 Januari, 2022.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen