Parasite, Finas 


Haris Hauzah

PERSATUAN Pemamer Filem Malaysia (MAFE) baru-baru ini melaporkan betapa pandemik yang berlaku pada saat ini telah meletakkan mereka dalam suatu situasi krisis yang paling berat dan sukar.

Menurut mereka kerugian yang terpaksa ditanggung daripada krisis pandemik yang panjang semenjak Mac tahun lalu, kini telahpun mencecah lebih RM400 juta. 

Pihak kerajaan boleh saja mengatakan apa yang berlaku ini adalah sejenis “unprecedented case” yang tidak dapat dielak.

Sebagaimana umum tahu, selain isu keselamatan kesihatan awam yang masih belum dapat sepenuhnya kerajaan bendung dengan penyelesaian.

Sebenarnya terdapat beberapa sisi lain yang gagal diambil serius oleh kerajaan khususnya kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Finas.

Kerugian besar dan bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung pawagam dilaporkan berpunca daripada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Barang harus diingat ada banyak beban berat yang terpaksa dipikul oleh pawagam selain hanya PKP, misalnya  kekangan kewangan, kemelesetan ekonomi dan tanggapan umum terhadap pawagam sebagai tempat yang selamat.

Inisiatif-inisiatif reaktif kerajaan yang terlalu sempit hanya kepada hal-hal dana dan pengagihan buat penerbit adalah satu kesilapan. Ia jelas sekali satu reaksi yang salah pada waktu yang salah bagi menyelesaikan masalah.

Semenjak Mac tahun lalu sewaktu industri perfileman negara ini melalui tempoh-tempoh sukar menjalani beberapa siri PKP, tumpuan kerajaan melalui menteri, kementerian dan Finas hanya banyak dibazirkan pada Road to Oscars. 

Bagi seni khasnya buat industri perfileman ia adalah suatu bencana kecelakaan. Ia satu pengkhianatan sebagaimana Tuah dikhianati para pegawai istana baginda sultan. Sebagaimana Jebat dikhianati Tuah yang gagal memahami situasi dan keadaan. 

Segala apa yang dilakukan Menteri, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas ini tak ubah seperti gerakan Sheraton yang mencuri hak orang seni sebagaimana kerajaan Perikatan Nasional mencuri hak para pengundi.

Jelas mereka persis megalomania yang berasa penting, kaya dan berkuasa. Mereka jadi elit dan bangsawan yang hanya sibuk menghitung faedah dan mengira keuntungan politik diri sendiri.

Bagi meraikan keberahian mereka terhadap kejayaan filem Parasite di Oscars yang barangkali dijadikan motivasi Road to Oscars, sebaiknya ruangan ini membuka sepotong lembaran kisah perfileman Korea Selatan. 

Sayugia diingatkan kejayaan Parasite di Oscars bukan percuma. Jalan yang dilalui industri filem mereka sehingga adanya sebuah Parasite sebagai karya adalah tidak mudah.

Ia bukannya suatu usaha yang berlaku semalaman semudah mengkempenkan Road to Oscars dengan harapan bakal ada sebuah filem Malaysia yang dapat dimenangkan.

Sebagaimana Malaysia pada tahun-tahun 60an, industri perfileman Korea Selatan juga pernah mengalami kejatuhan. Hal itu berlaku pada tahun-tahun 1970an. Bahkan ia berlarutan lama sehingga ke tahun 1990an.

Hal itu tidak hanya menyebabkan kemerosotan jumlah penonton ke pawagam, malah semestinya turut memberi kesan kepada sisi penerbitan filem yang semakin susut dan berkurangan.

Jumlah pawagam pada sepanjang tahun-tahun itu walaupun cuba bertahan namun banyak yang terpaksa mengalah dan gulung tikar menutup operasi perniagaan.

Hal kemerosotan ini dikaitkan dengan beberapa hal. Sepertimana apa yang berlaku di Malaysia, pengenalan televisyen turut menjadi salah satu sebab kemerosotan industri perfileman di Korea Selatan.

Namun itu bukanlah suatu faktor dominan yang menjatuhkan industri filem Korea Selatan, kerana ada sisi lain yang lebih besar menjadi faktor kemelesetan itu berlaku. Iaitu campur tangan kerajaan.  

Dasar dan polisi kerajaan Korea Selatan pada waktu itu disifatkan keterlaluan. Polisi-polisi perfileman yang terlalu bersikap autoritarian mengawal media dengan ketat nyaris meruntuhkan industri filem Korea Selatan.

Syarat dan peraturan-peraturan ketat yang diperkenalkan kerajaan Korea Selatan seperti hanya membenarkan syarikat penerbitan yang berdaftar dengan kerajaan sahaja dibenarkan terlibat dengan aktiviti penerbitan dan pengimportan filem dilihat sangat merumitkan. 

Malahan kerajaan Korea Selatan turut mensyaratkan pada mana-mana sahaja pihak yang menggunakan kamera 35mm serta pemilik studio yang melebihi 661 meter persegi dan menerbitkan lebih dari 15 buah filem setahun diwajibkan berdaftar dengan kerajaan.

Hal-hal yang menyusahkan sebegini akhirnya membantutkan kemajuan potensi industri perfileman Korea Selatan itu sendiri.

Campur tangan kerajaan dalam sektor seni dan kebudayaan sebenarnya harus dirintis dengan jalan yang lebih mesra dan bijak.

Jika tidak ia hanyalah suatu pencabulan, perampasan dan pencurian sebagaimana penjajahan yang menjalankan operasi politik pecah dan perintah terhadap kesenian. 

Seni boleh saja hancur di tangan beberapa orang megalomania seandainya institusi-institusi ini tidak segera diselamatkan.

Perfileman Korea Selatan hanya mengalami transformasi positif sewaktu negara itu diterajui oleh Presiden Kim Young Sam.

Antara usaha pertama yang dilakukan adalah melancarkan kempen “Segyehwa”, iaitu perlawanan global Korea Selatan bagi membuka pasaran negara itu merentasi aspek geografi, politik, budaya dan sosial.

Melalui cita-cita besar itu, kerajaan Korea Selatan telah mengarahkan beberapa syarikat gergasi negara itu untuk melabur dalam industri muzik dan perfileman.

Ia dilakukan melalui pembelian studio-studio penerbitan, syarikat-syarikat rakaman muzik serta beberapa syarikat penyedia dan pengeluar perisian. 

Usaha radikal Presiden itu adalah merupakan titik tolak kebangkitan industri perfileman Korea Selatan apabila berhasil menyediakan Chaebol, Samsung, Hyundai, Daewoo dan SK yang menjadi pelabur dalam industri perfileman.

Pelaburan besar-besaran itu telah menjadi batu asas kepada penubuhan Kompleks Studio Namyangju, Majlis Filem Korea serta Akademi Filem dan Kesenian Korea.

Pertubuhan-pertubuhan itu telah mewujudkan suatu jaringan besar pada seluruh ekosistem perfileman Korea Selatan termasuk institusi pawagam. 

Seluruh peranan dan kedudukan pemegang taruh dalam industri diperkuatkan melalui gabungan padu penerbitan, latihan, promosi, pendidikan, pengedaran dan mempamerkan produk perfileman. 

Mereka tidak pernah ada Road to Oscars sepertimana apa yang Menteri, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas hebohkan. – 14 Februari, 2021. 

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen