SEBUAH kapal perang Amerika Syarikat (AS) belayar melalui Laut China Selatan pada Khamis, mencetuskan amaran daripada tentera China ketika ketegangan antara kuasa besar itu masih memuncak.
Tentera laut Amerika berkata USS Benfold menegakkan hak dan kebebasan pelayaran di sekitar Kepulauan Paracel, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berkata USS Benfold ‘secara haram’ belayar ke perairan wilayah China tanpa kebenaran, melanggar kedaulatan negara, dan tentera laut dan udara China kini menjejaki kapal itu.
“PLA menyusun tentera laut dan udara untuk terlibat dalam pengesanan dan pemantauan serta memberi amaran dan menghalau kapal pemusnah.
“Kami memohon dan menuntut pihak AS menghentikan segera tindakan provokasi itu, jika tidak, ia akan menanggung akibat serius daripada kejadian yang tidak dijangka,” kata PLA dalam satu kenyataan.
China menuntut hampir semua kawasan Laut China Selatan, yang menjadi laluan perdagangan bertrilion dolar setiap tahun, yang turut dituntut Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Beijing mengabaikan keputusan pada 2016 oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap yang berpangkalan di The Hague bahawa tuntutan sejarahnya tidak berasas.
Dipimpin oleh Amerika Syarikat, beberapa angkatan laut Barat menjalankan “operasi kebebasan navigasi”, yang dikenali dalam kalangan tentera sebagai FONOP, untuk menegaskan bahawa Laut China Selatan adalah laluan air antarabangsa.
Laluan oleh USS Benfold pada Khamis adalah FONOP pertama yang diisytiharkan pada tahun ini.
Ia berlaku seminggu selepas Amerika Syarikat membentangkan kes paling terperinci terhadap tuntutan tidak berasas Beijing di Laut China Selatan, menolak kedua-dua justifikasi geografi dan sejarah.
Dalam kertas penyelidikan setebal 47 muka surat, Biro Lautan Jabatan Negara dan Hal Ehwal Alam Sekitar dan Saintifik Antarabangsa berkata China tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa untuk dakwaan yang telah meletakkan Beijing dalam tuntutan bertindih dengan Filipina, Vietnam dan negara Asia Tenggara yang lain.
China bagaimanapun menolak laporan itu. – AFP, 20 Januari, 2022.
Komen