MALAYSIA tidak akan berkompromi dengan mana-mana negara sekiranya terdapat ancaman di Laut China Selatan, demikian tegas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, perkara itu pernah dibangkitkannya beberapa kali dalam perjumpaan bersama wakil negara dan forum antarabangsa semasa memegang portfolio Menteri Pertahanan.
“Kita katakan kita tidak akan berkompromi dari segi kedaulatan kita,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama perdana menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.
Menyentuh dasar industri pertahanan dan keselamatan negara, iaitu antara sembilan fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata, keselamatan adalah isu yang amat penting kerana pembangunan negara akan terbantut sekiranya berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak selamat.
“Sememangnya kerajaan menumpukan perhatian kepada keselamatan dan pertahanan sejak dahulu.
“Bajet kita pun tahun lalu bertambah berbanding dengan yang lepas kerana kedaulatan negara tak boleh dikompromi dengan sesiapa sekalipun,” katanya.
Ismail Sabri turut menyifatkan Op Benteng, yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia dan dibantu 11 agensi lain, sebagai berjaya dalam menyekat kemasukan pendatang tanpa izin yang mungkin membawa virus Covid-19 ke negara ini.
Beliau berkata, usaha itu diperkukuh dengan penambahan 19 pos kawalan sempadan serta pembinaan kem baharu terutama di Sabah dan Sarawak. – Bernama, 3 Oktober, 2021.
Komen