Adakah SC rujuk siasatan Azam Baki kepada peguam negara, tanya Gobind


Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo meminta Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan sama ada Suruhanjaya Sekuriti merujuk kepadanya mengenai hasil siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.– Gambar fail The4 Malaysian Insight, 19 Januari, 2022.

AHLI Parlimen Puchong Gobind Singh Deo meminta Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan sama ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) merujuk kepadanya mengenai hasil siasatan terhadap ketua agensi antirasuah Azam Baki.

Katanya, selaku peguam negara yang mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan prosiding jenayah, Idrus tidak boleh terus berdiam diri.

“Beliau harus, sebagai pendakwa raya, menjelaskan perkara ini.

“Adakah dia mengkaji hasil siasatan yang dilakukan oleh SC itu dan membuat sebarang keputusan berkaitannya?

“Jika dia tidak melakukannya, adakah SC mempunyai kuasa untuk “memutuskan” perkara itu seperti yang dilakukan tanpa merujuk kepadanya terlebih dahulu?” tanyanya dalam satu kenyataan.

Semalam, SC mengumumkan ia selesai menyiasat isu akaun dagangan saham milik Azam yang beliau akui diguna oleh adiknya sendiri Nasir Baki untuk membeli sejumlah saham pada 2015 dan 2016.

Selepas meneliti keterangan yang ada, SC berkata ia tidak dapat memutuskan dengan muktamad bahawa wujud pelanggaran undang-undang mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Gobind yang juga peguam berkata walaupun peruntukan undang-undang itu berkenaan akaun sekuriti, pelanggaran akta berkenaan membawa kepada tindakan yang boleh dikenakan hukuman.

Kuasa untuk menentukan prosiding yang melibatkan kesalahan jenayah terletak pada peguam negara, mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, katanya.

“Bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi peguam negara selepas melihat hasil siasatan, untuk memberi pandangan dan/atau mengarahkan siasatan lanjut dilakukan mengenai perkara itu,” tambahnya.

Azam dalam reaksinya terhadap kenyataan SC semalam bersyukur dan bertegas akan meneruskan tugas sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, beberapa pihak mempersoalkan maksud sebenar kenyataan SC termasuk mendesak badan itu menjelaskan dengan terperinci dapatan siasatan mereka terhadap Azam.

Azam didakwa memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat senaraian awam, yang diperolehi semasa beliau memegang jawatan pengarah penyiasatan SPRM.

Azam menjelaskan saham itu dibeli oleh adiknya menggunakan akaun dagang atas namanya.

Pada 6 Januari, SC mengumumkan akan mendapatkan penjelasan daripada Azam berhubung penjelasannya itu kerana bertentangan dengan peruntukan SICDA. – 19 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen