Khutbah balak


Faisal Tehrani

AGAMAWAN kita pernah membebel tentang kepupusan penyu, dan melarang telur penyu dimakan atau dijual.

Para ulama kita juga selalu meleteri haram rokok dan nikotin. Mereka bahkan menggalakkan umat Islam memilih dan percaya kepada sains, iaitu dalam hal isu vaksin, vape, dan bermacam lagi. 

Pendek kata solusi sains tidaklah begitu asing dalam kandungan khutbah Jumaat. Penggunaan rasional dan lojik masih ada timbang taranya.

Kecuali dalam hal banjir Disember lepas, mereka sangat berhati-hati.

Dapat dikesani pendekatan yang amat berbeza dalam kalangan agamawan di Malaysia dalam menangani kemarahan masyarakat ekoran kegagalan pihak berkuasa bertindak segera ketika bencana banjir pada Disember 2021 yang lebih tertumpu di Pahang, dan Selangor.

Pendekatan ini menurut saya menunjukkan betapa agamawan negara ini masih terperuk dengan hukum-hakam, fikah sentrik, dan pada keadaan lebih pedih, memilih untuk diam bersama-sama musuh umat.

Sebagai contoh, naratif biasa dalam kalangan agamawan untuk mengamankan kemarahan masyarakat ialah mengingatkan bencana alam sebagai satu ‘musibah’ dan merupakan ‘teguran daripada Allah untuk umat manusia’. 

Hal ini misalnya dinyatakan dalam khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di seluruh masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri Perak pada 31 Disember 2021.

Bagaimanapun khutbah tersebut agaknya cuba-cuba mengambil kira kemarahan masyarakat dengan ikut menegur ‘pihak yang bertanggungjawab untuk mengurus alam sekitar’, tanpa menamakan secara jelas pihak atau individu terbabit. 

Kita semua tahu Menteri Alam Sekitar dan Air adalah dari Parti Islam Semalaysia, iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikritik hebat oleh ramai pihak kerana berada di Arab Saudi menunaikan umrah ketika bencana banjir antara 17 sehingga 19 Disember 2021 itu. 

Pada hari yang sama, khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula berusaha meredakan kemarahan masyarakat terhadap pihak berkuasa dengan mengingatkan “bukan masanya mencari salah dan menuding jari, sebaliknya kita berusaha untuk membantu semampu mungkin mangsa yang terjejas.”

Oleh sebab masa telah berlalu, dan lelah membersihkan lumpur sudah berakhir.

Oleh sebab minggu demi minggu kita sudah menerima bahawa lebih 50 orang terkorban ekoran kelemahan mengurus bencana.

Oleh sebab umat sudah makin menerima yang banjir adalah banjir dan memang datang daripada Tuhan, kini masanya kembali untuk kita mencari salah dan menuding jari.

Jangan mudah melupakan apa yang terjadi.

Jakim selaku pihak berkuasa agama di peringkat persekutuan memainkan naratif biasa bahawa bencana banjir adalah ‘musibah yang berlaku’ sebagai satu ‘peringatan daripada Allah SWT supaya manusia sentiasa mengingatinya, melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.’

Adakah ia semudah itu? Bagaimana pula musibah atau kemungkaran gara-gara penyebab bencana alam tersebut? Kita diminta melupakannya?

Di Kedah, muftinya, Syeikh Fadzil Awang mengambil sudut berbeza iaitu dengan mengecam huru-hara yang berlaku ekoran lambatnya tiba bantuan makanan di negeri Selangor, khusus dalam kejadian di Sri Muda, Shah Alam. Dalam huru-hara itu berlaku kerusuhan ekoran mangsa banjir yang kelaparan. 

Mufti Kedah menyatakan ‘mencuri dalam keadaan yang sangat terdesak semasa menghadapi musibah banjir tetap tidak dibolehkan dan berdosa’. 

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai ‘salah di sisi agama dan undang-undang negara’ meskipun berlaku ‘dalam keadaan darurat demi kelangsungan hidup, atau dilakukan dengan niat baik untuk membantu orang lain dalam kesusahan’. 

Inilah yang saya sering katakan, ada kalangan agamawan kita mengamalkan metode Bani Umaiyyah.

Di mana darah palitan nyamuk di gamis menjadi lebih penting dan mustahak untuk diwacanakan ketika darah cucu dan cicit Nabi Muhammad saw ditumpahkan ekoran melawan korupsi, pembunuhan di Karbala itu disenyapkan. 

Demikianlah asal usul dan sebab musabab banjir tidak mahu dikupas oleh agamawan.

Bukan bermakna mereka tidak tahu atau tidak pernah tahu. Saya sudah katakan, dalam banyak hal seperti kepupusan penyu, ulama ingin turut serta.

Mereka boleh dan kadang memilih untuk turut serta memberikan penyelesaian dan teguran agama.

Cuma dalam hal bencana banjir ini mereka memang memilih untuk bersekongkol dengan asbab atau punca bah atau banjir itu.

Apa yang lebih menarik ialah pihak berkuasa agama di Pahang menghindar diri untuk ikut terlibat dalam perbincangan mengenai bencana banjir yang lalu. 

Ini meskipun Pahang menjadi antara negeri yang terburuk ditimpa banjir tersebut yang berpunca dari pembalakan dan penggondolan hutan.

Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman misalnya mendiamkan diri. 

Bagaimanapun laman Facebook rasmi Jabatan Mufti Negeri Pahang menerbitkan sebuah karangan pendek oleh Ahmad Irfan Ikmal Hisham, pensyarah Universiti Malaysia Pahang, dengan judul ‘Iktibar Banjir: Adakah Semakin Longgar Akidah Umat?’. 

Irfan adalah salah seorang anggota Nadwah Ulamak dan Ilmuan Islam Yadim, yang merupakan sebuah agensi kerajaan persekutuan di bawah pimpinan pemimpin Parti Islam Semalaysia dari Pahang, Nasrudin Hassan.

Dalam tulisan pendek tersebut, Irfan menyatakan bencana alam bisa saja berlaku disebabkan ‘keengganan beriman dengan ajaran tauhid’. 

Kenyataan beliau tersebut dapat dibaca sebagai bertujuan untuk mendiamkan kemarahan masyarakat yang secara umumnya mengetahui penglibatan kerabat diraja Pahang dalam kegiatan pembalakan. 

Penglibatan kerabat raja Pahang dengan aktiviti pembalakan misalnya sudah diketahui umum dan ada dibincangkan secara ilmiah oleh J. Kathirithamby-Well dalam ‘Nature and Nation: Forests and Development in Peninsular Malaysia’ [terbitan University of Hawaii Press (2005)] dan Fadzilah Majid Cooke dalam ‘The Challenge Of Sustainable Forests: Forest Resource Policy In Malaysia’ [terbitan University of Hawaii Press (1999)]. 

Harus dinyatakan di sini, sikap mufti Pahang sangatlah defensif terhadap sebarang kritikan dan kecaman yang dihalakan kepada keluarga diraja Pahang.

Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman pernah menyatakan, ‘tindakan menghina dan mengkritik secara keterlaluan’ tidak sewajarnya berlaku. Beliau malah menegaskan yang institusi diraja tidak harus dijadikan sasaran apa pun kemarahan.

Pendekatan semua agamawan yang disebutkan ini begitu berbeza dengan jalan yang diambil oleh Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin yang mengaitkan bencana banjir dengan pembalakan.

Dalam satu kenyataan mufti Perlis ini meraih perhatian masyarakat kerana menyatakan pembalak dan aktiviti ini ‘layak menerima laknat manusia dan kelaknatan itu akan menimpa mereka’.

Beliau malah menyifatkan aktiviti pembalakan sebagai ‘jenayah’ bahkan mengecam mereka yang terlibat dalam perniagaan tersebut ‘tanpa mengira siapa pun pelakunya, samada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli peniagaan, ke atas mereka laknat rakyat’.

Tentu, kecaman berani ini dapat dikemukakan kerana Perlis terlalu kecil untuk memiliki hektar demi hektar tanah yang boleh dibalakkan.

Ujian sebenar untuk ulama seperti beliau ialah seandainya beliau menjadi mufti di negeri yang kaya minyak, gas asli, dan keributan politik seperti, katakan; Arab Saudi. Ketika itu ujian sebenar akan terjadi.

Sikap yang ditunjukkan oleh para agamawan menunjukkan agama dan agamawan masih menjadi medium untuk mengamankan kemarahan masyarakat dan khutbah Jumaat dijadikan saluran untuk menyampaikan ingatan bahawa banjir ini adalah satu musibah dan bukan gara-gara kerakusan segelintir manusia. 

Tiada sebarang tawaran atau saranan canggih yang praktikal daripada para ulama untuk masyarakat dalam hal mengatasi bencana ini dari berulang misalnya. – 18 Januari, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sokong

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Naim Al-Kalantani · Ulasan