Umat Islam berdosa pinjam 'ah long', kata mufti Kelantan


Mufti Kelantan menasihati umat Islam supaya mengelak jadi penggalak kepada kegiatan ah long. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

UMAT Islam berdosa meminjam wang daripada “ah long” atau terlibat dengan kegiatan pinjaman wang seperti itu kerana ia melibatkan riba, kata Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamed.

Pinjaman yang terkait dengan riba hukumnya haram dalam Islam, katanya.

“Memandangkan ia hanya menambahkan dosa, selain penyebab mudarat sosial yang lain, maka, jangan sekali-kali menjadikannya pilihan untuk menyelesaikan masalah kewangan atau ‘maslahah’ kehidupan,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Shukri menasihati umat Islam yang terlibat memberi pinjaman atau bersubahat dan berkhidmat dengan ah long supaya berhenti daripada kerja itu.

Beliau juga dipetik menegur iman umat yang terhakis kerana tidak lagi bantu-membantu selain sikap tidak amanah membayar hutang tanpa riba selepas dibantu.

Shukri juga menasihati umat Islam supaya mengelak jadi penggalak kepada kegiatan ah long.

“Dalam Islam ada sistem pinjaman kita sendiri. Mencari jalan mudah dengan ah long dan sanggup membayar ‘bunga’ dalam jumlah berlipat kali ganda menggambarkan tipisnya keimanan seseorang itu.

“Saya nasihatkan pakailah baju mengikut badan. Jangan terbeban kerana kalah dengan nafsu dan keinginan berlebihan. 

“Kena ingat dan faham, tiada permintaan maka tiada penawaran. Tiada yang setuju menerima pinjaman, pasti ah long pun tidak wujud,” katanya.

Mufti Kelantan mengulas laporan berita mengenai kegiatan kumpulan yang digelar “ayahanda” yang masuk ke kampung di Kelantan membantu ah long memburu peminjam yang gagal membayar hutang.

Mereka dilapor menakut-nakutkan peminjam dan menganggu ketenteraman ahli keluarga yang terlibat. – 4 Disember, 2021. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen