#MeToo ke peringkat global, adakah Malaysia sudah bersedia?


Liow Sze Xian

Gerakan #MeToo yang memperjuangkan nasib mangsa serangan atau gangguan seksual kini ke peringkat global.– Gambar EPA, 5 Februari, 2018. 

TERIMA kasih kepada kuasa internet, gerakan #MeToo tersebar luas di peringkat global dan di Malaysia telah memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menyuarakan pengalaman mereka berdepan dengan gangguan atau serangan seksual. 

Salah seorang daripada mereka, seorang pemuda berdarah campuran dan beragama Islam, yang hanya mahu dikenali sebagai Peter. Berketinggian 180cm, dia merupakan seorang yang tegas namun menyembunyikan kisah hitam dalam hidupnya. 

Peter dicabul ketika berusia 5 tahun. Sejak dari itu, sehinggalah dia bersuara kerana #MeToo, mindanya cuba untuk memadamkan memori yang sering bermain di fikirannya. 

“Bila saya teringatkan peristiwa itu, saya jadi buntu. Dalam tempoh 10 tahun selepas itu, sehinggalah saya membuat keputusan untuk menyertai gerakan #MeToo dan bercakap mengenai pengalaman saya, saya tidak mampu untuk mengingat kembali insiden itu. 

“Bukan saya takut, tetapi saya cuba untuk melupakan insiden berkenaan. Saya sangkakan saya sudah melupakannya, namun bila #MeToo bermula, saya sedar saya hanya cuba menafikannya setiap masa,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran media sosial kepada The Malaysian Insight. 

Sebelum Peter berkongsikan kejadian serangan itu kepada umum, dia sering melihat posting #MeToo di Facebook. Dia menyedari ramai yang berdepan trauma yang sama, walaupun kawan rapatnya, dan mereka menggalakkannya untuk tampil.

“Saya menyedari yang saya bukannya ‘melupakan’ insiden itu. Saya mahu bersuara tetapi tidak berpeluang, jadi saya menderita dalam diam,” kata Peter. 

Dia akhirnya menemui ruang untuk menulis mengenai kejadian itu di Facebook. Namun dia turut bersedih dengan realiti bahawa orang yang dekat dengannya turut mengalami kejadian sama, dan cuba menyembunyikannya sedangkan orang lain hanya berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa.

“Saya tahu perkara ini berlaku, tetapi saya tidak tahu ramai dalam kalangan kita menjadi mangsa, Dan saya sedar ia bukan salah saya perkara itu berlaku,” kata Peter. 

Bagi Ho Li Fang, 26 tahun, pendorongnya untuk bersuara mengenai pengalaman serangan seksual yang dihadapinya adalah kes pembunuhan penulis Taiwan Lin Yi-Han pada April 2017. 

Ia kemudiannya terdedah bahawa kematiannya berkemungkinan disebabkan dia menderita daripada kemurungan, yang berpunca daripada insiden serangan seksual yang tidak pernah didedahkannya. 

Selepas membaca mengenai kisah silam Lin, Ho tergerak untuk menulis pada ruangan kolum Malaysiakini mengenai butiran trauma yang dihadapinya.

Mengamalkan keberanian

Sebelum dia menghantar artikel berkenaan, dia “mengamalkan” beberapa cara untuk melihat sama ada dia memiliki keberanian untuk tampil ke hadapan. Pada mulanya, dia memberitahu beberapa kawan rapatnya dan melihat bagaimana reaksi mereka. Selepas beberapa kali melakukannya, barulah dia berani untuk menghantar artikel berkenaan. 

Bagaimanapun, artikel berkenaan dikongsi dengan meluas. “Ia dikongsikan berulang kali di Facebook, tetapi saya cuba sembunyikannya daripada keluarga dan saudara mara. Dunia ini kecil dan saya memilih untuk tidak (lebih terbuka). Saya gunakan nama samaran untuk artikel itu, jadi semuanya ok.”

Begitu juga, penulisan di media sosial menyediakan perlindungan keselamatan untuk Chong Yee Shan, yang merupakan ahli sebuah badan bukan kerajaan, Diversity, yang menyokong hak-hak seksual minoriti.

“Saya tidak dapat kira berapa kali saya berdepan serangan seksual, dari saya kecil hinggallah dewasa. Terdapat banyak insiden, besar dan kecil. Kemudian saya lihat beberapa rakan saya tampil dalam gerakan #MeToo, dan memikirkan traumanya sangat mirip dengan saya. Dan kemudian saya rasa terkesan, saya juga boleh tampil ke hadapan di Facebook,” kata Chong, menceritakan bagaimana dia mula tampil untuk menyertai #MeToo.

Apakah yang telah dilalui oleh orang-orang seperti Chong, Ho dan Peter yang tampil ke hadapan, terutamanya dalam masyarakat yang biasanya membicarakan trauma seksual dan melupakan masa lalu?

#Gerakan MeToo turut dibincangkan di peringkat Parlimen oleh negara Kesatuan Eropah dalam menangani masalah tekanan yang dihadapi mangsa serangan atau gangguan seksual. – Gambar EPA, 5 Februari, 2018.

Bagi Ho, ia merupakan satu terapi, yang mana dia lakukannya menerusi penulisannya sama ada ia disiarkan atau tidak. 

“Pada mulanya, saya rasakan seperti mahu tumbang pada bila-bila masa, kemudiannya perasaan itu semakin hilang. Selepas tampil ke hadapan di internet, saya merasakan seperti satu beban terlepas daripada bahu. 

“Akhirnya, ini bukan sesuatu yang saya perlu tanggung seorang diri. Jika kawan saya sebut mengenainya atau seseorang bertanya tentangnya, saya tidak lagi rasa tertekan sebagaimana sebelum ini,” katanya. 

Bagi Peter dan Chong, posting mereka di media sosial menyebabkan ramai kenalan mereka meluahkan trauma yang mereka sendiri hadapi. 

Chong berkata, walaupun mangsa tidak menulis pada posting #MeToo atau tampil secara umum di internet, dengan membaca mengenai orang lain di media sosial sahaja cukup untuk memberikan kekuatan kepada mereka. 

“Ini akan menyebabkan mereka merasakan seperti mendapat sokongan. Mereka tidak akan mempersoalkan apa yang pernah mereka hadapi.”

Menurut Peter, dia terkejut apabila postingnya memberikan kesan yang lebih besar. 

“Ramai yang memiliki pengalaman sama, mereka menceritakan kepada saya apa yang berlaku. Selepas itu kami tubuhkan satu kumpulan kecil untuk berikan sokongan antara satu sama lain, dan kini kami memahami dengan lebih dalam apa yang pernah kami lalui. 

“Kawan-kawan saya risau dengan saya. Ada juga antara mereka yang tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku ketika itu, namun kebanyakannya memberi sokongan kepada saya. Sokongan mereka membuatkan saya lebih menghargai mereka,” katanya. 

Sebelum berkongsi, bersedia dari segi mental

Tampil secara umum di media sosial membantu mangsa serangan seksual mencari ketenangan memberi kesedaran kepada mereka bahawa mereka tidak bersendirian, namun dengan berbuat demikian juga turut mencetuskan kenyataan yang kurang menyenangkan dan tidak membantu. 

“#MeToo memerlukan lebih daripada mangsa. Banyak perkara yang sudah mereka lalui. Ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri.

“Walaupun saya menerima banyak mesej yang memberi sokongan, ada juga mereka yang mempersoalkan ‘mengapa baru sekarang mahu tampil? Mengapa tidak pernah tampil sebelum ini? Mengapa tidak buat laporan polis?’

“Apa yang berlaku sudah pun berlaku, kamu tidak mampu mengubahnya. Persoalan ini menyakitkan, dan akan ada yang bercakap mengenai ‘penyelesaian masalah’,” kata Ho. 

Seorang rakannya memintanya  untuk “bertanggungjawab atas kenyataannya itu”, tambahnya. 

Peter turut menerima emel kecaman dan serangan peribadi terhadap perwatakannya. 

“Saya menerima emel kecaman, yang memberitahu ‘Jika kamu seorang lelaki, mengapa ini berlaku kepada kamu?’ Mereka terus mengatakan saya mungkin tak cukup macho, yang saya ini lemah, atau saya pasti ‘rela’ untuk ia berlaku.

Sokongan masyarakat amat diperlukan oleh mangsa serangan atau gangguan seksual bagi mengelakkan mereka terus berada dalam kemurungan.– Gambar EPA, 5 Februari, 2018.

“Kamu perlu banyak kekuatan untuk berdepan dengan mereka yang enggan memahami situasi yang kamu hadapi. Kebenaran perlu disampaikan, walau sudah lama ia berlaku, saya masih terfikir ‘mengapa ia berlaku kepada saya. Mengapa orang itu melakukannya?” katanya. 

Peter berkata sekiranya seseorang itu mahu tampil secara umum, dia perlu bersedia untuk menerima kesannya. 

“Kamu perlu ingat. Jika mereka tidak memahami, ia bukan salah kamu juga.”

Bagi Chong, walaupun menjadi aktivis bagi hak kesamarataan jantina atau seksual, dia merasa bingung kerana tidak dapat bertindak untuk mendedahkan dalang yang melakukan serangan itu. 

“Saya juga terkejut, mengapa saya tidak boleh bertindak sebagaimana yang saya pelajari dan dedahkan pelakunya? Saya tidak mengatakan apa-apa selepas kejadian itu, dan saya tidak ambil apa-apa tindakan juga,” katanya.

“Kalau saya, seseorang yang memiliki sumber, kemahiran dan pengetahuan, tidak boleh bertindak sewajarnya (terhadap serangan seksual). Bagaimana kamu jangkakan sesuatu perkara untuk bertindak sewajarnya?”

Memberi cahaya

Chong berkata, budaya Malaysia tidak menggalakkan mangsa untuk bersuara.

“Seluruh masyarakat kita tidak menggalakkan mangsa untuk bersuara, kadang kala kami diminta untuk tidak terlalu bercakap banyak.”

Pendidikan seks juga kurang, menyebabkan orang ramai malu untuk bercakap perkara berkaitan seks, menjadikan ia satu topik yang sukar untuk dibangkitkan, tambahnya, menyebabkan masyarakat Malaysia berpengetahuan cetek dalam memahami seks dan gagal untuk menyedari apa yang disifatkan sebagai “gangguan seksual”.

“Terdapat lelaki yang merasakan wanita sukakan mereka lebih sombong dan agresif, dan wanita takut untuk mengatakan yang mereka tidak selesa dengannya,” katanya. 

Ada juga yang merasakan #MeToo tidak akan menyebabkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas pelaku, tetapi Chong berkata ia sekurang-kurangnya membolehkan mangsa untuk menceritakan kisah mereka. 

“Terdapat kekaburan dari segi perundangan, dan banyak perkara yang tidak boleh diselesaikan menerusi undang-undang. #MeToo membangkitkan terlalu banyak isu yang wajar dibincangkan dan kesannya yang memberi kekuatan kepada mangsa tidak boleh dilepaskan,” katanya. 

Dalam pada itu, Peter merasakan gerakan itu akan membantu membuka minda masyarakat Malaysia. 

“Melihatkan kepada gerakan #MeToo di peringkat global, kita boleh lihat Malaysia masih agak konservatif. Tetapi saya tidak fikir kita perlu tunggu Malaysia menjadi lebih terbuka untuk mangsa mula bersuara. Melalui kekuatan mereka mendedahkan pengalaman hitam itu akan membuka ruang untuk perbincangan,” katanya.

Peter berkata, serangan seksual tidak berlaku dengan cara orang berpakaian, atau tingkah laku mereka, ia adalah disebabkan sikap berdiam diri, yang membenarkan gangguan ini terus berlaku tanpa disedari. 

“Sekiranya kamu tidak bercakap mengenainya, ia akan terus berlaku. Jika kamu luahkan segalanya akan ada ruang untuk perbincangan, dan mangsa boleh mendapatkan sokongan dan bantuan yang mereka perlukan.” – 5 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen