Longgarkan SOP Thaipusam, gesa pengerusi kuil


Elill Easwaran

Kuil Sri Maha Mariamman di Batu Caves dijangka dipenuhi penganut Hindu bagi menyambut Thaipusam mulai esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

PENGERUSI Kuil Sri Maha Mariamman R Nadarajah mahu Putrajaya mengkaji semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Thaipusam.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa kerajaan sedang membuat kekecohan besar bagi perayaan yang hanya disambut sekali setahun.

“Mereka berkata mereka yang berumur di bawah 18 tahun tidak dibenarkan masuk, bagaimana mereka mengharapkan ibu bapa meninggalkan anak-anak untuk perayaan terbesar yang disambut oleh penganut Hindu,” katanya.

Nadarajah berkata, permintaan itu sudah dihantar kepada kerajaan pada 12 Januari lalu tetapi masih belum ada sebarang maklum balas.

Beliau berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membuat keputusan mengenai permintaannya secepat mungkin memandangkan penganut dijangka menyerbu Batu Caves mulai Isnin.

Thaipusam jatuh pada hari Selasa.

Berikut beberapa perubahan yang Nadarajah mahu Putrajaya pertimbangkan:

- Waktu operasi – kuil dibuka selama 24 jam dari malam Thaipusam hingga keesokan harinya. Pada masa ini, ia dibenarkan dibuka antara jam 5 pagi dan 11 malam;

- Untuk tambahan orang bagi menemani pembawa paal kudam (belanga susu), kerana sebahagian daripada mereka sudah tua dan memerlukan bantuan; dan

- Bagi mereka yang berumur bawah 18 tahun untuk mengambil bahagian dalam upacara sembahyang.

Nadarajah berkata, lebih 90,000 penganut mendaftar untuk menghadiri sembahyang di kuil sehingga pagi ini dan adalah mustahil untuk memenuhi permintaan semua dengan SOP semasa.

Beliau berkata, larangan bagi kehadiran dan waktu sembahyang yang ditetapkan MKN menyukarkan pengurusan kuil.

“Bagi anak-anak pula, ibu bapa berikrar untuk membotakkan kepala atau membawa mereka dalam kavadis tebu, yang hanya boleh ditunaikan dengan kehadiran mereka,” katanya.

Selepas Deepavali, Thaipusam adalah perayaan terbesar bagi penganut Hindu, yang berkumpul beramai-ramai untuk perayaan tahunan di kuil di seluruh Malaysia.

Tarikh perayaan ditentukan oleh bulan purnama dalam bulan Thai dalam kalendar Hindu - biasanya Januari atau Februari.

Thaipusam jatuh pada 18 Januari tahun ini. – 16 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen