Saya panggil tentera kalau ada kuasa pengerusi MKN, kata Menteri Besar Selangor


MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari menjelaskan beliau bukan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Selangor ketika banjir besar melanda beberapa daerah di negeri itu Jumaat lalu.

Katanya, biarpun demikian beliau sudah melakukan segala yang terdaya mengikut kuasa yang ada padanya untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan persekutuan, yang bertanggungjawab mengendalikan aset nasional termasuk tentera.

“Menjelang November lepas saya dimaklumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri, pengerusinya telah diserahkan kepada menteri persekutuan.

“Jadi saya tak boleh panggil polis, tak boleh panggil tentera sebagai (pengerusi) Majlis Keselamatan Negara pada tarikh tersebut.

“Kalau saya ada peluang, pada tarikh itu saya sudah panggil Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam sidang media di Shah Alam, petang ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (dua dari kanan) berkata beliau sudah buat segala yang terdaya mengikut kuasanya bagi mendapatkan bantuan kerajaan persekutuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Disember, 2021.

Media melaporkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar adalah pengerusi MKN Selangor. Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Amirudin berkata beliau mendedahkan perkara itu bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi untuk menjelaskan keadaan dan kronologi pengurusan banjir sejak beberapa hari lalu.

“Sekarang masa untuk kita selamatkan rakyat,” jelasnya.

Menurut Amirudin, beliau juga telah dihubungi oleh pihak MKN supaya mempengerusikan semula MKN negeri.

“InsyaAllah saya akan panggil semua pihak termasuk pihak pembangkang untuk kta selaras khususnya pemulihan selepas ini,” tambahnya.

Pendedahan Amirudin muncul selepas beberapa laporan media yang memetik sumber mendakwa kerajaan Selangor keberatan untuk melibatkan pasukan tentera dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap.

Menurut Amirudin, beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein pada Jumaat malam dan memaklumkan mereka keadaan pada masa itu.

Keesokannya, pada Sabtu, Amirudin menyertai Ismail Sabri meninjau keadaan mangsa banjir di Klang.

Sejak itu juga, Amirudin menjelaskan, kerja-kerja pengurusan usaha menyelamat dan membantu mereka yang terjejas lebih teratur.

Pada malam itu, beberapa daerah di Selangor antaranya Klang, Shah Alam dan Hulu Langat lumpuh akibat banjir besar selepas hujan lebat luar biasa yang berterusan lebih 48 jam, menyebabkan ribuan penduduk terperangkap.

Awal hari ini, bercakap di Jelebu, perdana menteri tidak menafikan ada kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari masa ke masa.

Semalam, perdana menteri mengumumkan MKN akan mengeluarkan segala arahan kepada semua pihak berhubung tindakan perlu berhubung bencana banjir di seluruh negara.

Ismail Sabri hari ini turut mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama menteri besar dan ketua menteri secara dalam talian dari Putrajaya. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen